Kelvin bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis ke atas bekas peguam negara Apandi Ali petang tadi di IPD Dang Wangi hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Sosialis Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY) Dr Kelvin Yii Lee Wuen hari ini membuat laporan polis mendesak siasatan ke atas bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali.

Ahli Parlimen Kuching itu mendakwa, bekas peguam negara itu telah mereka- reka bukti dalam isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membebaskan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dari kes tersebut.

Menurutnya, dalam kes Lim Kit Siang, hakim yang menguruskan perbicaraan kes tersebut berkata, Apandi tidak pernah berjumpa dengan penderma RM2.6 bilion dan jelas menunjukkan Apandi telah menipu rakyat.

“Bukti gambar yang diambil bersama penderma Arab itu terbukti hanyalah rekaan Apandi semata-mata dan ini satu kesalahan serius di bawah Kanun Keseksaan yang perlu disiasat kerana mereka-reka bukti.

“Malah lebih serius perbuatan Apandi yang kemudian menerima tawaran daripada Jho Low untuk menjadi ejen bagi bagi menyelesaikan masalah segala kes yang dihadapi Jho Low dengan kerajaan Malaysia menerusi tawaran RM1.5 bilion yang sanggup ditawarkan ahli perniagaan yang sangat dikehendaki polis dalam kes tersebut.

“Dalam hal ini pengakuan Apandi yang mengesahkan dia sendiri jadi orang perantaraan dalam isu membabitkan Jho Low dan kerajaan jelas mengkhianati kebaikan dan kedaulatan negara,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Tambah beliau, perbuatan Apandi  jelas mengkhianati kebaikan dan kepentingan negara yang perlu diambil serius oleh pihak berkuasa polis dan menjalankan siasatan segera.

Katanya,  skandal wang berbilion ringgit itu telah menjejaskan imej dan reputasi negara di mata dunia ditambah lagi dengan perbuatan bekas peguam negara itu.

“Kami Dapsy turut membuat laporan polis pada hari ini di seluruh negara yang mana Pulau Pinang, Sarawak dan Perak beberapa laporan polis telahpun dibuat oleh ahli-ahli kami,” tegasnya. – MalaysiaGazette