Wayne Lai Soon Wei (kiri) dan Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir (kanan) dengan dokumen perjanjian masing-masing yang telah ditandatangani sambil diperhatikan oleh Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Briar Resources Sdn Bhd hari ini memeterai dua memorandum perjanjian (MoA) untuk pemindahan teknologi dua formulasi baja bagi pengkomersialan kepada Briar Resources.

Dua formulasi baja tersebut ialah Enhanced MPOB F5 Fertilizer Formulation (MPOB F5 Improved) dan Enhanced MPOB F5 Super Fertilizer Formulation (MPOB F5 Premium).

Di bawah kedua-dua MoA yang ditandatangani sempena Ekspo Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES), Briar Resources akan mengeluarkan secara komersial kedua-dua formulasi baja untuk penanaman kelapa sawit.

Pada majlis itu, MPOB diwakili Pengerusinya Jugah Anak Muyang @ Tambat dan Ketua Pengarah, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir manakala Briar Resources diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Rizalman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Encik Wayne Lai Soon Wei.

Pertukaran perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Ahmad Parveez berkata, Briar Resources dipilih kerana syarikat itu memiliki kemudahan seperti peralatan dan mesin untuk menghasilkan kedua-dua baja itu.

”Briar Resources juga mempunyai kepakaran menghasilkan baja pelet yang menstabilkan baja kimia dan bahan organik,” katanya.

MPOB F5 Improved boleh menjadi sumber alternatif baja kelapa sawit selain jenis baja lain yang dibangunkan oleh MPOB. Formulasi baja yang lebih baik boleh digunakan menggunakan penyebar mekanikal di ladang.

Sebaliknya, formulasi yang ditambahbaik dan bentuk baja MPOB F5 Premium telah terbukti meningkatkan kecekapan nitrogen dan mempunyai kekerasan relatif yang lebih tinggi, justeru kadar penggunaan baja dapat dikurangkan.

Ia akan membantu menangani kekurangan buruh dengan penyesuaian penyebar mekanikal di lapangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast