Ahmad Fuzi menyampaikan pingat baru-baru ini. - Gambar FB TYT Penang

GEORGE TOWN – Penganugerahan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) kepada dua pegawai Pejabat Ketua Menteri, Chow Kon Yeow terpaksa ditangguhkan susulan tidak menepati garis panduan penerima pingat tersebut.

Penganugerahan tersebut sempena Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Sempena Hari Ulang Tahun Ke-73 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan garisan panduan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Pulau Pinang, seseorang yang telah menerima sesuatu kurniaan Negeri hanya boleh dicalonkan semula selepas tiga tahun dari tarikh kurniaan terdahulu.

Jelasnya, Ahmad Fuzi juga telah memperkenankan penangguhan penganugerahan pingat tersebut.

“Pertemuan bersama Ahmad Fuzi hari ini, Kon Yeow telah menjelaskan bahawa  pencalonan kedua-dua pegawai berkaitan yang merupakan penjawat awam diuruskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri dengan ini akan memastikan penambahbaikan dilakukan terhadap perkara berkaitan pada masa hadapan,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, dua pegawai berkenaan turut berasa lega isu yang disiarkan dalam laporan media semalam telah diselesaikan.

Seramai 21 individu menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa.

Turut menerima DGPN ialah bekas pakar patologi di Hospital Pulau Pinang (HPP) Prof Madya Datuk Dr Bhupinder Singh, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Istiadat Penganugerahan kali ini menyaksikan jumlah penerima tertinggi dalam tempoh lima tahun bagi negeri Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast