Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN ketika di Matrade, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pelajar yang membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bergraduat bermula 2019 dan mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama akan dikecualikan daripada bayaran balik.

Perkara berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN di sini hari ini.

Katanya, pengecualian berkenaan akan diberikan tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.

“Saya berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF)  berkenaan perkara ini dari segi peruntukan yang terlibat,” katanya.

Jelas Ismail Sabri, pengecualian bayaran balik merupakan simbolik dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian.

Sementara itu beliau memuji komitmen PTPTN kerana telah memberikan tumpuan kepada aspek penabungan dalam kerjasama strategik.

“Saya difahamkan kerjasama ini telah mula diadakan dengan Kerajaan Negeri Sarawak dengan amaun yang disumbangkan lebih daripada RM30 juta.

“Langkah kerjasama ini amat baik dan perlu dipertingkatkan dengan semua kerajaan negeri. PTPTN menyasarkan kutipan balik pinjaman melalui inisiatif ini adalah sebanyak RM50 juta,” katanya lagi.

Terdahulu, katanya, seramai 3.67 juta pelajar telah dibantu bagi meneruskan pengajian dengan keseluruhan pinjaman berjumlah RM 66.87 bilion sehingga kini.

Tambah Ismail Sabri, sehingga Jun lalu, lebih dua juta atau 82.04 peratus peminjam telah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM 17.8 bilion.- MalaysiaGazette