Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan pihaknya menghentikan siasatan berkaitan penipuan pembelian hartanah di Pekan Nenas melibatkan seorang ahli perniagaan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand.

Ia berikutan kes berkenaan dimaklumkan tiada tindakan lanjut oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Bagaimanapun jelas beliau pada peringkat Bukit Aman,  siasatan masih diteruskan untuk beberapa kes berkaitan dengan suspek yang sama.

“Kita telah berhubung dengan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman bahawa kes yang disiasat di bawah laporan di Pekan Nanas kita dapati ia dikategorikan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh oleh Timbalan Pendakwa Raya.

“Namun  peringkat Bukit Aman mereka masih ada beberapa kes untuk mengambil tindakan terhadap suspek ini. So far di Johor kita dapati kes ini telah diselesaikan.

“NFA. Kerana ada beberapa elemen dan keterangan yang mungkin di pihak pendakwa raya yang tidak boleh nak luluskan siasatan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor Siri 2/2022 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) hari ini.

Pada Isnin lalu media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam proses permohonan untuk membawa pulang ahli perniagaan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand, Jumaat lalu ke negara ini bagi membantu siasatan kes penipuan.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Teddy Teow, 55, adalah individu yang disiasat PDRM mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Teddy Teow didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram hasil aktiviti perjudian dalam talian di selatan Thailand.

Teddy Teow dilaporkan ditahan di ibu pejabat syarikatnya, MBI Group di Danok berhampiran sempadan daerah Sadao, awal pagi Jumaat lalu. – MalaysiaGazette