Amirudin Shari

SHAH ALAM – Rancangan Selangor Pertama (RS-1) adalah iltizam kerajaan negeri untuk mencapai sumbangan 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang tahun 2025.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor juga akan menjadi antara negeri pertumbuhan ekonomi dan penambahbaikan taraf kualiti hidup rakyat dengan menyediakan apa yang diperlukan terutama di kawasan yang mengalami pembandaran rancak.

Ini katanya, harus merangkumi cabaran seperti perumahan mampu milik, penyampaian perkhidmatan kerajaan yang efisien berteraskan konsep negeri berdaya huni.

Kata beliau, RS-1 meletakkan 14 petunjuk makro sebagai indikator pencapaian keseluruhan kepada tema strategik rancangan itu bagi memastikan strategi dan inisiatif yang dilaksanakan dapat dinilai dari segi kejayaannya.

Antara sasaran utama yang ingin dicapai menjelang tahun 2025 adalah pertumbuhan KDNK negeri disasarkan pada kadar 6.5 hingga 7.0 peratus setahun.

“Kedua, pelaburan yang diluluskan untuk sektor utama dan lebih canggih sebanyak RM25 bilion hingga RM35 bilion setahun; ketiga, penembusan Jalur Lebar tetap bagi setiap 100 premis pada kadar 70 peratus.

“Keempat, jumlah peluang pekerjaan disasarkan antara 3.5 dan 3.8 juta orang, bersamaan dengan 97 peratus daripada jumlah tenaga buruh di Selangor; kelima, median pendapatan isi rumah dianggarkan kira-kira RM9,290 sebulan.

“Keenam, mengurangkan peratus kemiskinan mutlak kepada 0.7 peratus, seterusnya mengurangkan peratus kemiskinan relatif kepada 11 peratus dan Skor Indeks Kesejahteraan Keluarga berada pada skala 8.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentang Rancangan Selangor Pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, petang ini.

Menurut Amirudin, petunjuk makro lain yang dirangka dalam RS-1 ialah pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau berdasarkan KDNK sebanyak 35 peratus berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005.

RS-1 juga memberi jaminan bekalan air bersih harian, selain meningkatkan kadar kitar semula sisa bahan buangan kepada 15 peratus dan memastikan kadar penyelesaian projek berimpak tinggi berada pada tahap 100 peratus berdasarkan kemajuan semasa.

Menurut beliau, RS-1 juga memastikan kedudukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di peringkat kebangsaan berada di penarafan 10 teratas dan pendigitalan perkhidmatan kerajaan berbentuk hujung ke hujung sebanyak 85 peratus.

Selain itu, katanya, RS-1 juga merangkumi empat tema strategi, lima pemangkin dasar dan 262 projek serta inisiatif yang merangkumi 19 pemacu perubahan.

“Bagi tema strategi pertama iaitu Pengukuhan Ekonomi, RS-1 telah mengenal pasti sembilan sektor tumpuan berdasarkan sumbangan KDNK semasa, potensi pertumbuhan pasaran dan permintaan masa hadapan yang akan terus memacu ekonomi Selangor.

“Semua sektor ini berpotensi melonjakkan kedudukan ekonomi Selangor sebagai economic powerhouse di Malaysia, di samping menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi di seluruh Selangor.

“Selain itu juga, dalam memastikan pengagihan yang saksama bagi aktiviti ekonomi di Selangor, RS-1 juga telah mengenal pasti beberapa wilayah yang akan dibangunkan melalui rancangan pembangunan berasaskan pelan pembangunan wilayah,” katanya. – MalaysiaGazette