Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang anti-lompat parti dengan majoriti dua pertiga undi.

RUU itu diluluskan selepas Ahli Parlimen berbahas lebih 600 minit Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri  Azhar Azizan Harun berkata, seramai 209 ahli Parlimen bersetuju manakala 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat.

Penggubalan RUU ini memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen bagi meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

RUU Anti Lompat Parti itu diluluskan selepas sesi perbahasan mengambil masa dua hari untuk 80 Ahli Parlimen mewakili pihak kerajaan dan blok pembangkang memgambil ruang masing-masing membahaskan RUU berkenaan.

Bagaimanapun, tiada seorang pun Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu sama ada presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun ahli-ahli Parlimen yang bertindak melompat parti sebelum ini.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Antaranya perundangan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti ini tidak akan terpakai secara restrospektif iaitu pelaksanaan akta mulai tarikh kuat kuasa akta, pendekatan satu langkah (one-step approach) diambil dalam memperkenalkan undang-undang larangan bertukar parti, iaitu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga, ahli Dewan Rakyat yang keluar daripada parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Keempat, keanggotaan seorang ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan.

Kelima, keanggotaan seorang ahli Dewan Rakyat juga merujuk kepada seorang ahli Dewan Rakyat yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk sesuatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota parti gabungan itu.

Dua lagi adalah keanggotaan ahli Dewan Rakyat dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan Rang Undang-Undang ini adalah keahlian seorang ahli Dewan Rakyat dalam suatu parti politik, penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam rang undang-undang berkaitan dengan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Akhir sekali adalah mana-mana ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi ahli Dewan Rakyat bebas, akan terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi.

Pembentangan RUU anti-lompat parti adalah salah satu syarat utama memorandum persefahaman (MoU) antara Ismail dan Pakatan Harapan (PH).- MalaysiaGazette