Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media berkenaan kejayaan anggota polis dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis erimin yang bernilai RM328,385.00 di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dadah oleh empat sekeluarga yang bergerak aktif di Lembah Klang tumpas dalam tiga serbuan berasingan di Jalan Kuching dan Kepong, di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, sindiket itu terbongkar susulan penahanan sepasang suami isteri, masing-masing berusia 38 dan 27 tahun dalam serbuan pertama yang dipercayai mengambil bekalan dadah dari keluarga terbabit.

Pasangan ini disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di sebuah Kondominium di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada 25 Julai jam lebih kurang 1.45 pagi.

Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek menjumpai 400 biji pil erimin 5, 140 biji Pil ecstacy, selain menjumpai sepaket plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat 5.90 gram.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini, Eng Lai berkata, pihaknya juga merampas wang tunai berjumlah RM2,057 yang dipercayai hasil jualan dadah.

Suspek lelaki didapati positif dadah jenis ketamin dan benzodiazepine (Benzo), namunĀ  si isteri negatif.

Jelas beliau, hasil soal siasat terhadap suspek serbuan pertama membawa kepada lokasi pembekal di serbuan kedua di kawasan tempat letak kereta di Kondominium yang sama.

Menurut Eng Lai, susulan serbuan itu pasukan polis menahan seorang lelaki, 47, dan seorang perempuan,18, yang merupakan bapa dan anak tiri.

Siasatan dalam kereta milik si bapa menemui 11,000 biji pil erimin 5 dan 200 biji pil disyaki ecstacy serta lima paket plastik berisi dadah jenis ketamin seberat 250 gram setiap satunya.

Dalami serbuan kedua itu,polis turut merampas wang tunai berjumlah RM7,000 dipercayai hasil keuntungan jualan dadah dua beranak itu.

Ujian air kencing mendapati hanya si bapa positif dadah jenis benzo.

Rentetan penahanan itu, polis kemudian menahan seorang wanita, 38, tahun, dan anak lelakinya, 19, di sebuah rumah di Taman Indah Perdana, Kepong, pada hari yang sama lebih kurang jam 6.30 petang.

Hasil pemeriksaan di rumah terbabit menemukan dua paket plastik berisi dadah disyaki jenis ketamin seberat 100 gram setiap satunya, dan sembilan paket plastik berisi dadah disyaki jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 90 gram setiap satunya yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM328,385.

Wang tunai RM40,000 dipercayai hasil jualan dadah juga dirampas.

Mereka dipercayai mula aktif mengedar dadah sejak tahun lepas namun kedua-dua suspek didapati negatif dadah.

Keenam-enam suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa lalu, hingga 1 Ogos.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette