Zhen Zune (tengah) bercakap dengan pemberita selepas menyampaikan memorandum kepada Kerajaan Negeri DAP di Komtar, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang hari ini menyerahkan memorandum lima tuntutan membabitkan kebajikan rakyat negeri ini yang kini berdepan situasi getir akibat kenaikan harga barang kepada Kerajaan DAP.

Lima tuntutan itu berhubung cukai pintu, bayaran sewa dan fi pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR), pembayaran parkir kereta, pembayaran lesen penjaja, sewa gerai, dan tarif air.

Jurucakap Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang, Tan Zhen Zune berkata, jurucakap Parti Gerakan sekitar negeri ini menerima banyak maklum balas dan keluhan daripada rakyat yang hidup menderita akibat pandemik Covid-19.

Jelasnya, situasi itu bertambah getir apabila rakyat kini berdepan dengan tekanan inflasi menyebabkan mereka bercadang agar Kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin Chown Kon Yeow memberi bantuan praktikal kepada rakyat.

“Kami percaya keadaan kewangan kerajaan negeri tidak akan tergugat dengan memberi bantuan kepada rakyat yang memerlukan sekiranya mereka berbelanja dengan hemah, dan mengutip cukai tambahan dari industri pelancongan warisan dan pelaburan asing.

“Kami berharap kerajaan negeri Pulau Pinang lebih bersikap keprihatinan rakyat dengan mempertimbangkan lima tuntutan yang disyorkan ini agar memanfaatkan rakyat yang memerlukan bantuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Komtar hari ini.

Terdahulu, Zhen Zune menyerahkan memorandum itu kepada Penolong Pegawai Penerangan, Edmund Lee Tatt Weng mewakili Pejabat Ketua Menteri.

Hadir sama Jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Ivan Kong Cheng Ann dan Jurucakap Wanitanya, Heng See Lin.

Mengulas mengenai lima tuntutan itu, Zuen Zune berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan negeri memberikan pengecualian bayaran cukai pintu dan memberi diskaun 50 peratus bayaran sewa dan fi pengurusan kepada penghuni projek perumahan rakyat (PPR).

“Selain itu kerajaan negeri juga boleh memberi moratorium pembayaran parkir kereta untuk jam pertama, moratorium pembayaran lesen penjaja, memberi diskaun 50 peratus bayaran sewa gerai dan pemberian diskaun tarif air,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast