Kawasan lapang yang dialaskan tikar di tengah ladang kelapa sawit adalah satu-satunya tempat di mana anak-anak Kampung Orang Asli Kemidak mendapat isyarat internet yang jelas untuk mengikuti kelas dalam talian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bekok, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 13 JUN 2021.

AGENDA Digital Nasional Berhad (DNB) adalah polisi terbaik kerajaan dalam merapatkan kesenjangan digital antara wilayah bandar dan luar bandar.

Status quo hari ini, kita harus menerima hakikat betapa liputan Internet di kawasan luar bandar adalah lemah.

Malah, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Speedtest Global Index bagi keseluruhan tahun 2021, Malaysia berada di tempat keenam dalam senarai kelajuan internet mudah alih di negara ASEAN.

Data tersebut juga menunjukkan kelajuan internet mudah alih di negara kita ialah 25.44 megabit per saat (Mbps).

Sementara tempat pertama pula diduduki oleh Singapura dengan kelajuan 66.93Mbps, diikuti oleh Thailand (47.11), Brunei (40Mbps), Vietnam (34.82Mbps) dan Laos (28.07Mbps). Secara keseluruhannya, Malaysia berada di tangga ke-85 daripada 140 buah negara dunia yang mana tempat pertama diduduki oleh Emeriah Arab Bersatu (UAE) dengan kelajuan internet mudah alih 178.52Mbps.

Kelajuan internet mudah alih di negara kita itu bukan sahaja rendah, malah ia juga masih tidak mencapai standard kelajuan sederhana internet global iaitu muat turun pada kadar 48.40Mbps, muat naik (12.60Mbps) dan kependaman atau latency (37 saat).

Inilah realiti yang harus diterima oleh masyarakat maya di Malaysia.

Cuba kita bayangkan tahap liputan internet di luar bandar misalnya di Kuala Pilah. Ketika perayaan Aidilfitri yang lalu, saudara mara yang pulang ke kampung halaman merungut dengan liputan Internet yang lemah.

Bagaimanakah pula nasib golongan mahasiswa yang berada di sini untuk melakukan akses pengajian dalam talian? Semestinya lebih banyak rujukan yang perlu di lakukan secara di atas talian.

Lebih menyedihkan, ketika piawai kebangsaan sudah meneroka 4G (meninggalkan 3G) sebagai takat minimum aplikasi internet, banyak kawasan di luar bandar yang langsung tidak mempunyai akses internet mudah alih langsung.

Bagaimana jurang ekonomi dapat dirapatkan sekiranya utiliti internet sebagai alat asas pun tidak dapat dikecapi sebahagian masyarakat? Mana mungkin peluang yang lebih besar di semesta maya dapat dikecapi sama rata oleh semua?

Pelaksanaan 5G yang dipacu kerajaan melalui Kementerian Kewangan sangat penting dan wajar dijalankan secepat mungkin kerana inilah rawatan kepada kesenjangan digital yang sebenar.

Jaminan dari Digital Nasional Berhad (DNB) dan Kerajaan Malaysia melalui prinsip penawaran sebelum permintaan adalah satu-satunya pendekatan yang belum pernah diperkenal sejak internet generasi pertama dikomersialkan di Malaysia.

Revolusi internet sudah lama tiba waktunya tetapi kita ditakutkan dengan kepentingan industri untuk mengambil penyelesaian ini.

Semua sedia maklum, di mana-manapun kita tinggal dan menjalankan aktiviti harian termasuk aktiviti ekonomi, begitu juga di Kuala Pilah. Kawasan ini memerlukan perkhimatan pembekal internet untuk mendapatkan data dan akses internet yang stabil. Bagaimanapun pilihan pengguna terlalu terhad.

Misalnya di kampung halaman saya, DiGi pilihan pertama tetapi berbeza di kampung yang lain. Juga berbeza di kawasan bandar. Ini memaksa pengguna untuk menggunakan lebih dari satu rangkaian untuk mendapatkan akses yang berterusan. Belum lagi bercakap soal kelajuan.

Syarikat pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) jangan pula mengambil mudah dengan tanggungjawab pengagihan spektrum 5G. Sudah terbukti kelajuan yang diberikan 5G jauh meninggalkan kemudahan internet 4G sedia ada. Jangan pula syarikat-syarikat ini hanya memikirkan SOAL keuntungan semata-mata.

Keutamaan agenda kita adalah merakyatkan penggunaan internet. Internet untuk semua, bukan untuk sesiapa yang mampu membayar lebih sahaja.

Ahli Parlimen dan ahli politik pembangkang juga harus mempunyai rasa kesegeraan untuk membenarkan kemudahan ini dinikmati orang ramai.

Ini bukan masanya sengaja menimbulkan kontroversi kepada pengendalian projek 5G hanya untuk mendapat political mileage dan menjadi populis di Parlimen mahupun media sosial. Setiap perbelanjaan yang dikeluarkan MoF dan DNB sememangnya direkodkan dan menjadi rujukan awam.

Tidak ada isu penyelewengan kuasa dan penggubahan wang pun yang akan terlepas dari pandangan dan siasatan autoriti. Ia tidak lagi harus dilengahkan semata-mata memuaskan agenda pergaduhan antara seteru politik.

Harapan besar saya agar agenda DNB dapat dilaksanakan sesegera mungkin agar manfaat dapat dinikmati semua, apatah lagi keperluan komuniti perniagaan dalam tranformasi ke arah membangunkan ekonomi digital.

Luar bandar tidak lagi akan terasing di luar dengan kehadiran 5G. Internet tanpa sempadan akan merobohkan sempadan pembangunan antara wilayah bandar dan luar bandar yang sedia ada hari ini.

June Artisha Mohamad Nazari
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast