KOTA KINABALU – Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dengan kerjasama Cardiff University School of Psychology mengadakan intervensi Terapi Penerimaan dan Komitmen (ACT) untuk kesihatan ibu dan anak (Perinatal Health) bermula Jun hingga Oktober depan.
Pengarah HUMS, Prof. Dr. Helen Lasimbang berkata, intervensi yang merangkumi dua fasa itu melibatkan ibu mengandung serta staf HUMS dan dua buah klinik kesihatan.
”Fasa pertama merangkumi 25 kakitangan HUMS dan Klinik Kesihatan (KK) Sikuati yang telah menjalani latihan secara dalam talian melalui program yang dinamakan Training of Trainers baru-baru ini.
”Dalam fasa kedua, 250 ibu mengandung di KK Sikuati, KK Tamparuli, serta HUMS menerima intervensi ACT secara berkumpulan selama 10 minggu bermula Ogos sehingga Oktober 2022,” katanya.
Menurutnya, intervensi psikologi untuk ibu dan anak itu diadakan julung-julung kalinya di Sabah yang dibuat secara besar-besaran.
”Projek intervensi ini juga adalah buat yang pertama kalinya ditawarkan di kawasan desa atau luar bandar di negeri ini selaras dengan salah satu bidang tujahan atau niche area HUMS iaitu healthcare uberisation, yakni membawa perkhidmatan kesihatan kritikal ke pesakit, bukannya menunggu pesakit datang ke hospital,” jelasnya. – MalaysiaGazette