Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memberitahu Dewan Rakyat pihaknya sedia mengalu-alukan mana-mana pihak yang sedia untuk membuat sebarang ujian klinikal terhadap kanabis untuk tujuan perubatan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali, tiada ujian klinikal dibuat oleh mana-mana pihak mengenai produk ekstrak bahan tersebut.

“Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 telah sedia membenarkan keluaran yang mengandungi ekstrak kanabis untuk diimport, dijual, dan dibekal atau digunakan bagi tujuan perubatan, penyelidikan, atau percubaan klinikal bagi tujuan perubatan tertakluk kepada pematuhan keperluan undang-undang.

“Setakat ini tiada ujian klilinal ke atas apa-apa keluaran yang mengandungi ekstrak kanabis bagi tujuan perubatan sedang dijalankan di Malaysia.

“Justeru KKM amat mengalu-alukan sebarang permohonan untuk menjalankan sebarang ujian klinikal keatas keluaran ekstrak kanabis untuk apa-apa tujuan perubatan di Malaysia,” katanya menjawab pertanyaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) di Dewan Rakyat hari ini.

Syed Saddiq mahu KKM menyatakan status perkembangan terkini kebenaran dan penggunaan kanabis perubatan (medical cannabis) di Malaysia.

Dalam pada itu, Noor Azmi berkata, Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum yang bermesyuarat pada Isnin lalu menetapkan rangka kerja bagi pendaftaran kanabis untuk tujuan perubatan akan dikeluarkan penghujung tahun ini.

“Berhubung cadangan untuk membezakan kanabis perubatan dan Hem dari aspek perundangan, perkara ini adalah bergantung kepada dapatan jawatankuasa induk pembangunan industri kanabis dan ketum bagi tujuan perubatan yang ditubuhkan KKM selaras dengan keputusan jemaah menteri pada mesyuarat 13 April dan keputusan terhadap hasil dapatan tersebut.

“Mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum pada Isnin lalu, rangka kerja pendaftaran untuk pendaftaran kanabis akan dikeluarkan penghujung tahun ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, KKM tidak menolak kajian terhadap keberkesanan kanabis dalam perubatan malah sekiranya ada keluaran yang berkaitan perubatan kanabis yang telah diluluskan di negara luar ia boleh didaftarkan di negara ini.

“Kita di negara ini terkebelakang dan KKM sedia untuk melihat perkara-perkara baharu dan tahu bahawa Hem sangat berguna untuk perubatan malah digunakan untuk merawat epilepsi, kanser dan tekanan perasan.

“Kalau kita duduk di takuk lama, maka kita takkan pergi ke mana-mana,” katanya lagi.

Untuk rekod, lebih 40 buah negara telah memberikan kebenaran penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan antaranya Thailand. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast