MADRID – Kakitangan syarikat penerbangan tambang rendah Ryanair, yang telah melancarjab mogok untuk menuntut faedah kerja yang lebih baik sejak akhir Jun lalu akan melanjutkan tindakan itu sehingga Januari tahun depan.
Pusingan baharu mogok akan berlangsung dari Isnin hingga Khamis pada setiap minggu dari 8 Ogos hingga 7 Januari 2023, kata Kesatuan Sekerja USO dan Sitcpla.
Kesatuan sekerja terus menuntut syarat kerja yang menghormati hak asas, seperti 22 hari cuti bergaji, 14 lagi cuti umum dan undang-undang kesihatan dan keselamatan dipenuhi.
Mereka juga mahu 11 pekerja yang dipecat semasa mogok sebelum ini dikembalikan semula dan mengenepikan tindakan disiplin.
“Mereka tidak memberi kami pilihan, kami terpaksa melanjutkan mogok kerana syarikat itu enggan merundingkan sesuatu yang asas sebagai perjanjian kerja kolektif,” kata Monica Ortega, jurucakap USO.
Ryanair menyumbang 22.3 peratus penumpang yang melakukan perjalanan melalui lapangan terbang Sepanyol pada separuh pertama tahun ini, menurut data yang dikeluarkan oleh pengendali Lapangan Terbang Aena.
Sebanyak 24 penerbangan telah dibatalkan semasa tindakan mogok dari Isnin hingga Rabu dan lebih daripada 686 penerbangan dari Sepanyol telah ditangguhkan. – Xinhua