Antara GRO yang ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen di Jalan Pudu. semalam.

KUALA LUMPUR – Tindakan berani sebuah premis pusat hiburan menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen sah pihak berkuasa menerima padah selepas  diserbu polis semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pusat hiburan haram itu digempur lebih kurang 11 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi di Jalan Baba Off Jalan Pudu di sini.

“Kita telah menggempur pusat pub itu kerana melakukan kesalahan mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen sah.

“Seramai 10 orang yang terdiri daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai pengurus premis dan sembilan perempuan asing sebagai pegawai khidmat pelanggan (GRO)  berusia 30 tahun hingga 40 tahun diberkas dalam serbuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sembilan GRO wanita asing berjaya dicekup polis dalam sebuah pusat hiburan yang terlibat aktiviti hiburan tanpa lesen sah semalam. Ihsan IPD Dang Wangi.

Tambah beliau, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas dua buah pembesar suara, sehelai resit perniagaan, satu set pengadun muzik, seunit pembesar muzik, sebuah komputer riba dan satu set peralatan internet.

“Kesemua tangkapan itu direman selama empat hari hingga 31 Julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan polis.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 55b Akta Imigresen 1953/69 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta yang sama.

Noor Delhan menambah, polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di premis hiburan serta membuat pemantauan ke atas aktiviti pub dan kelab malam yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa. – MalaysiaGazette