Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mencabar DAP meletakkan calon di kawasan beliau pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan Larangan Bertukar Parti di Dewan Rakyat, hari ini, Tajuddin berkata, BN akan pastikan DAP tidak menang pada pilihan raya akan datang.

“Kamu perlu tahu kedudukan kamu? Faham tidak. Kalau kamu (DAP) tidak ubah, maka Parlimen ini akan jadi macam itu di masa akan datang.

“Kami akan turun kepada rakyat untuk tukar kamu semua (Ahli Parlimen DAP), saya janji perkara ini.

“Kami akan kempen dan silalah datang (tanding) di Pasir Salak, kita tengok kamu (DAP) boleh menang atau tidak. Datang ke Pasir Salak dan tanding,” tegasnya.

Tajuddin sebelum ini lantang di Dewan Rakyat terhadap beberapa ahli Parlimen DAP.

Beliau sebelum ini dikaitkan dengan kenyataan lucah dan seksis di Dewan Rakyat.

Tajuddin ketika itu sering diganggu oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang.

“Sebab itu pembangkang terutamanya DAP tidak mendapat sambutan, sekarang kita adakan PRU. Ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan nak PRU cepat, okey kita buat sekarang.

M. Karupaiya (PH-Padang Serai) kemudian mencelah mengatakan sekarang dewan membahas RUU Lompat Parti dan tidak ada kena mengena dengan DAP.

Turut bersuara Datuk Seri Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya).

“SUA (Ahmad Maslan) nak PRU tapi PM tak nak pilihan raya,” katanya mencelah perbahasan Tajuddin.

Terdahulu, Tajuddin mengingatkan semua ahli-ahli Parlimen yang berada di Dewan Rakyat hari ini tujuan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan Larangan Bertukar Parti yang sebenarnya.

Kita nak melihat keadaan yang stabil dalam negara kita dalam bentuk politik, ia adalah untuk kita tumpukan tenaga kita kepada tanggungjawab kita yang sebenar sebagai wakil rakyat.

“Peranan dan tanggungjawab kita adalah untuk membangunkan negara dan rakyat,” katanya.

Justeru itu, menurut Tajuddin lagi, sekiranya wakil rakyat asyik berpolitik sahaja maka masa depan rakyat dan negara akan tergugat.

“Sebagai ahli politik kita gagal sebenarnya, kita patut malu dengan diri sendiri tidak kiralah samada ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang.

“Kita gagal sebagai wakil rakyat sebab kita tidak dapat membela nasib rakyat. Berbeza di Jepun dan Korea Selatan mereka telah berjaya dalam tempoh 20 tahun sahaja.

“Saya rasa sedih sebab kita pengecut untuk mengemukakan pandangan demi kepentingan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Pi la bertanding kat bagan,butterworth kalu ada teloq.pendekar songkok sengget ni ada berani ka

Comments are closed.