Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan tangguh hukum bagi kes pemalsuan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ,28 JULAI 2022

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 1 Ogos depan bagi keputusan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang mahu menggantung sabitan hukuman kes pemalsuan dokumen di hadapi olehnya.

Untuk makluman, Peter sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bagaimanapun Peter membuat permohonan untuk menggantung pelaksanaan hukuman itu penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan UMS.

Alasan yang diberikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADUN) Melalap itu dalam notis usul permohonan tangguh hukuman ialah sabitan itu akan menjejaskan dirinya daripada menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

Peguambela Peter, D Senthinathan berhujah, permohonan menggantung pelaksanaan sabitan dibuat dengan alasan yang sama seperti dalam dalam kes Datuk Seri Najib Razak iaitu untuk bertanding pada PRU-15 dengan menggunakan alasan istimewa mengikut Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah.

Pihaknya  memohon sabitan itu digantung sehingga rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mendapati Anthony bersalah diputuskan Mahkamah Tinggi.

Namun demikian, pasukan pendakwaan pula berhujah hari ini di hadapan Hakim Azura Alwi bahawa permohonan ini tidak ada merit langsung.

Hujah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Shaharuddin Wan Ladin, permohonan hanya dibenarkan jika terdapat kesilapan salah tulis mengikut Seksyen 278 Kanun Acara Jenayah, tetapi jelas dalam kes terbabit, tiada terdapat sebarang kesilapan berkenaan.

Jelasnya, hakim tidak boleh membenarkan permohonan itu pada peringkat ini kerana ia bertentangan Seksyen 278 Kanun Acara Jenayah (KAJ) disebabkan ia membabitkan judicial act oleh hakim.

Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Ketika membuat keputusan sabitan salah, Azura menegaskan, tiada asas untuk meragui kredibiliti saksi-saksi pendakwaan terutama tiga saksi utama sedangkan kerjaya dua daripada mereka turut terjejas selepas dikenakan tindakan tatatertib oleh UMS.

Mahkamah menyatakan hanya Peter mempunyai kepentingan untuk mendapatkan kontrak kerja-kerja penyelenggaraan dan bersungguh-sungguh mendapatkannya bagi kepentingan sendiri dan syarikatnya, Asli Jati Engineering.

Mahkamah juga berpendapat, wujud keterangan yang mencukupi bahawa tertuduh telah menipu ketiga-tiga saksi utama dengan mengaburi pemikiran mereka berhubung perkongsian pintar. -MalaysiaGazette