Gambar hiasan

MELBOURNE – Harga minyak meningkat kira-kira AS$1 pada awal dagangan Jumaat, dibangkitkan oleh kebimbangan bekalan dan dolar Amerika Syarikat yang lebih lemah.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS untuk penghantaran September meningkat AS$1.09, atau 1.1%, kepada AS$97.51 setong menjelang 0041 GMT, membalikkan kerugian daripada sesi sebelumnya apabila sentimen dilanda kebimbangan kemelesetan di AS.

Manakala niaga hadapan minyak mentah Brent untuk penyelesaian September, yang dijangka tamat pada Jumaat, meningkat AS$0.86 atau 0.8%, kepada AS$108.00 setong.

Kontrak Oktober yang lebih aktif meningkat AS$0.87 atau 0.9%, kepada AS$102.70.

Brent berada di landasan untuk meningkat hampir 5% untuk minggu ini dalam kenaikan mingguan kedua berturut-turut, manakala WTI berada di landasan untuk kenaikan hampir 3% untuk minggu ini, memulihkan kerugian minggu sebelumnya.

“Harga minyak mempunyai sedikit peluang untuk merekod erugian besar berikutan kelemahan dolar AS dan masalah bekalan yang berterusan,” kata penganalisis CMC Markets, Tina Teng.

Minyak biasanya meningkat apabila dolar jatuh kerana dolar yang lebih lemah menjadikan minyak mentah lebih murah untuk pembeli yang memegang mata wang lain.

Pertemuan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu yang diketuai oleh Rusia, pada 3 Ogos ini akan menjadi penentu.

Sumber OPEC+ berkata, kumpulan itu akan mempertimbangkan untuk mengekalkan pengeluaran minyak untuk September.

Keputusan untuk tidak meningkatkan pengeluaran pastinya akan mengecewakan Amerika Syarikat selepas Presiden AS Joe Biden melawat Arab Saudi bulan ini dengan harapan untuk mencapai perjanjian mengenai pengeluaran minyak. — Reuters