Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari mahkamah selepas selesai perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Usaha terakhir, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap kes rasuah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta akan diteruskan bulan depan di Mahkamah Persekutuan, seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zahara Wan Yusoff dan Siti Hajar Mustaffa.

Selasa lepas dilaporkan Najib telah memberhentikan dengan serta-merta Tetuan Shafee & Co daripada bertindak sebagai peguam yang mewakilinya dalam rayuan-rayuan jenayah membabitkan dana SRC International.

Beliau kemudian melantik peguam Hisyam Teh Poh Teik dari Tetuan Hisyam sebagai peguam utamanya, manakala  Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam dari Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners  sebagai peguam baharunya.

Pada Mei lepas, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Ahli Parlimen Pekan itu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International. -Bernama