Sulaiman Md Ali

MELAKA – Melaka bersedia meminda perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri bagi melarang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu daripada lompat parti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan itu bertepatan dengan manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lepas.

“Saya sokong RUU berkenaan. Parlimen dah selesai, kita tunggu ini (RUU) dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dahulu sebelum dibincangkan di peringkat negeri.

“Ada time frame (tempoh waktu) diberikan kepada negeri-negeri untuk turut serta RUU ini. Saya bersedia (pinda perlembagaan).

“Nak kata saya tidak bersedia, saya mesti bersedia. Kalau tidak dah lama saya angkat (RUU Anti Lompat Parti). Kalau Melaka boleh angkat dulu, kita angkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka, Sidang Dua, Penggal Ke-33 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, cadangan Melaka untuk melaksanakan RUU Anti Lompat Parti sudah dimasukkan dalam manifesto beliau semasa PRN Melaka tahun lalu.

“Namun ia tidak dapat dilaksanakan selagi Parlimen tidak meluluskan RUU berkenaan.

“Apabila Parlimen sudah luluskan bermakna kita bersedia. Itu telah terkandung dalam manifesto saya dari tahun lepas,”katanya.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi tindakan melompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen.

RUU itu membabitkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan melalui undian belah bahagian oleh 220 Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan seramai 209 ahli Parlimen bersetuju, manakala 11 lagi ahli Parlimen tidak hadir. – MalaysiaGazette