KUALA LUMPUR -Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman sedang menyiasat laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang tidak puas hati terhadap siasatan 1Malaysia Development Berhad.
Setiausaha PDRM Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan.
Namun, tiada sebarang ulasan lanjut mengenai laporan polis itu.
Rabu lalu, Charles Santiago dari DAP membuat laporan polis di Balai Polis Klang Selatan, meminta polis menyiasat Tan Sri Apandi Ali atas dakwaan menyalahgunakan kuasanya sebagai bekas Peguam Negara untuk menutup siasatan pihak berkuasa terhadap 1MDB.
Ahli Parlimen Klang itu berkata, ini terbukti dengan penolakan Mahkamah Tinggi terhadap saman fitnah yang difailkan Apandi terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang.
Dakwa beliau, Apandi sengaja mereka-reka maklumat dan berbohong semasa memegang jawatan Peguam negara yang membawa kepada penyalahgunaan kuasanya sebagai penasihat undang-undang utama negara.
Apandi menyaman Kit Siang yang mendakwa bekas Peguam Negara itu menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan ke atas 1MDB dan wang yang dipindahkan ke akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib mempertahankan wang yang dipindahkan ke akaunnya adalah sumbangan politik daripada keluarga diraja Arab Saudi.
“Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi, Azimah Omar menyatakan delegasi Apandi tidak berjumpa mahupun bercakap dengan pihak didakwa penderma, walaupun berkata sebaliknya pada sidang media 26 Jan 2016,” dakwa Santiago lagi.
Dalam pada itu, Charles juga mengesahkan telah diambil keterangan oleh pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis daerah Klang Selatan pada hari ini, mewakili pasukan USJT Bukit Aman. – MalaysiaGazette