KUALA LUMPUR – Program Road March sempena Peringatan Hari Polis ke-215 tahun 2022 yang disambut di Dataran Merdeka hari ini meriah dengan dibanjiri ribuan warga kota.
Program julung kali diadakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula sejak pagi tadi mencuri tumpuan ramai apabila menawarkan pengurangan kompaun saman trafik dengan diskaun sehingga 50 peratus bagi semua saman terpilih yang boleh dikompaun.
Kaunter pembayaran saman PDRM diserbu ratusan orang yang berbaris panjang.
Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan hari ini berkata, program ini melibatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Penerangan Malaysia.
“Program Road March ini bertujuan menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat Keluarga Malaysia untuk melihat perarakan dan persembahan terutamanya daripada cawangan pancaragam PDRM.
“Inisiatif sebegini memberi kelainan dalam kalendar sambutan Peringatan Hari Polis pada tahun ini yang menjadi salah satu usaha PDRM mendekati masyarakat selari dengan tema polis dan masyarakat berpisah tiada,” katanya.
Dalam pada itu sekitar pukul 2.45 petang, majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Ismadi Sakirin.
Acryl Sani turut mengambil kesempatan melawat setiap kiosk pepmpamer di karnival yang sama.
Semasa pelancaran, aksi payung terjun VAT 69 Komando PDRM telah mencuri perhatian pengunjung.
Enam orang komando VAT69 itu adalah Sarjan Mohd. Hazlan Zakaria membawa bendera Jalur Gemilang, Koperal Pakurazi Ismail (bendera Wilayah Persekutuan), Koperal Azwandi Ali (bendera Sang Saka Biru), Sarjan Ahmad Basri Salleh (bendera 69 Komando), Koperal Pragash Murugesu (bendera PGU) dan penerjuan terakhir Koperal Khairul Az’ehar (pemukul gendang).
Turut memeriahkan majlis berlangsung, karnival mini dengan pelbagai aktiviti menarik sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang 2022 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pembukaan gerai pameran jabatan-jabatan PDRM dan gerai jualan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, persembahan pancaragam daripada sekolah-sekolah sekitar ibu kota; pertandingan mewarna untuk kanak-kanak hingga ke dewasa; persembahan live band, tarian moden dan tradisional turut diadakan untuk menghiburkan pengunjung.
Turut memeriahkan program di dataran adalah perarakan unit berkuda, kenderaan, persembahan aksi tiger platoon, Unit K-9, aksi menunggang motosikal PDRM, pameran helikopter, aset PDRM, kereta Lamborghini dan motosikal Harley- Davidson.
Warga kota khususnya kanak-kanak mengambil peluang mengambil gambar dan bersua foto dengan aset-aset PDRM di Dataran Merdeka.
Program Road March pada kali ini anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berlangsung dengan jayanya sambil berharap agar masyarakat kekal bersama membantu PDRM dalam mengekalkan ketenteraman dan keharmonian negara.-MalaysiaGazette