Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan 2022, turut sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 31 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli ke Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Tahun 2022 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Ketibaan dif-dif kehormat ke majlis bermula jam 8 pagi bermula dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abul Sani bersama isteri, Puan Seri Ir. Zaitun Mohd Isa disusuli Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Affendi Buang serta isteri,  Tengku Datuk Muhaini Sultan Ahmad Shah.

Pada jam 8.10 pagi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tiba diikuti Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah pada jam 8.15 pagi manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba ke majlis pada pukul 8.20 pagi.

Keberangkatan YDPA disusuli lagu ‘Negaraku’ dengan diiringi 21 das tembakan meriam yang diketuai Leftenan Kolonel Mohd Asri Che Wil dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.

Istiadat perbarisan pada tahun ini yang mana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dipertanggungjawabkan sebagai penganjur adalah berkonsepkan perbarisan statik dengan penglibatan enam detasmen.

Ia terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Kontinjen dari Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) serta Kontinjen Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia (PBPM).

Perbarisan Kawalan Kehormatan Utama pada sambutan tersebut terdiri daripada empat pegawai 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Penglibatan keseluruhan dalam menjayakan Istiadat Perbarisan terdiri daripada 66 pegawai dan 1,055 anggota lain-lain pangkat dari ATM dan PDRM yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Muhammad Ikhwan Hussin, Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD).

Manakala perbarisan melibatkan 54 pegawai dan 830 anggota lain-lain pangkat ATM.

Selain itu, empat pegawai dan 82 anggota PDRM serta 152 veteran dari PVATM dan PBPM terlibat dalam perbarisan tersebut.

Antara pengisian dalam Istiadat Perbarisan in adalah alunan deklamasi sajak berjudul Pahlawan’ yang disampaikan oleh Koperal (Udara) Mohamad Ramdan Akmal Md Jamal dari ATM serta Sarjan Roseshini Kasim dari PDRM selepas tiupan Paluan Akhir (Jalur gemilang Diturunkan) dilakukan.

Kemuncak acara adalah persembahan pantomim mengenai pengorbanan pejuang negara  berkisar peristiwa pertempuran yang telah berlaku di Bakara Market, Mogadishu, Somalia pada 3 dan 4 Oktober 1993 yang dipersembahkan ATM.

Insiden tersebut membabitkan pasukan Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanise yang terlibat dalam dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mogadishu, Somalia di bawah Kontinjen MALBATT UNOSOM II (United Nations Operation in Somalia).

Ibu Pejabat Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Somalia (UNOSOM Il) telah meminta bantuan pasukan tentera Malaysia dan 19 RAMD Mekanise (MALBATT 1).

Mereka dikerah ke kawasan pertempuran untuk menyelamatkan anggota elit Rangers Amerika Syarikat dan kru helikopter Black Hawk yang terperangkap di sebuah pasar akibat diserang pemberontak pimpinan Mohamed Farrah Aidid.

Dalam usaha menyelamatkan anggota Rangers berkenaan, kereta perisai Condo yang dipandu oleh Koperal Mat Aznan Awang telah diserang hendap puak pemberontak melalui tembakan roket RPG menembusi cermin hadapan kenderaan tersebut menyebabkan kematian pemandunya.

Atas keberaniannya, Allahyarham Koperal Mat Aznan wang telah dikurniakan Darjah Keberanian Tertinggi Persekutuan, Seri Palawan Gagah Perkasa (SP).

Selesai upacara berkenaan, tiupan “Paluan Fajar” (Jalur Gemilang dinaikkan) dilakukan disusuli laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali sebelum bacaan doa sebelum Hormat Diraja daripada barisan Kawalan Kehormat Utama bersama Lagu Negaraku. – MalaysiaGazette