Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

KOTA BHARU – Sesebuah kerajaan tidak boleh diberi masa begitu lama untuk memerintah negeri dan negara, kata Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Beliau berkata, kebaikan bagi sesebuah negara atau negeri yang bersilih ganti boleh berlaku semak dan imbang daripada segi pembaharuan setiap kali kerajaan berubah.

“Dalam hukum sistem demokrasi sesebuah kerajaan atau negeri atau negara tidak boleh diberi masa begitu lama memerintah. Masa popular ialah lapan ke 10 tahun, selepas itu ditukar, biar kerajaan silih berganti.

“Begitu lama sesebuah parti memerintah, ianya akan masuk ke alam tua dan menimbulkan pelbagai kelemahan yang boleh disifatkan penyakit tua.

“Apabila penyakit tua kerana lama, maka terjadilah pelbagai penyelewengan seperti rasuah, salah guna kuasa dan parti serta pemimpinnya menjadi angkuh, sombong, kehidupan mewah dan mula menjadi pembohong, hipokrit dan munafik,” katanya dalam Ceramah Perdana Putra di Kota Bharu, malam tadi.

Pada majlis itu juga beliau mengumumkan Pengerusi Putra Kelantan yang juga Ketua Bahagian Kota Bharu, Datuk Prof. Dr. Che Musa Che Omar sebagai calon Parlimen Kota Bharu PRU15 ini.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) telah memerintah Malaysia lebih 60 tahun sejak merdeka dan Pas mentadbir Kelantan lebih 50 tahun dari 1959 hingga 1978 dan 1990 hingga kini.

Katanya, UMNO parti nasionalis Melayu yang diberi kepercayaan menjaga dan berjuang demi Melayu, manakala Pas pula parti menggunakan nama Islam yang berjuang untuk agama.

“Kedua parti ini diharapkan menjaga Melayu dan Islam, tetapi apabila terlalu lama memerintah, akhirnya tanpa disedari mereka mula mengkhianati bangsa dan agama sendiri.

“Apa yang diperjuangkan kini adalah untuk kepentingan diri semata-mata, yang mana Melayu dan Islam hanya sekadar topeng dan alat untuk mendapat sokongan undi.

“Kerosakan dan kegagalan dua parti tua ini pula sukar diubati kecuali umat Melayu Islam berani menukar kepada parti baharu sebagai pilihan mereka. Jika tidak, lebih banyak keburukan akan berlaku terhadap masa depan umat,” dakwa beliau.

Menurut Ibrahim, Malaysia merupakan negara paling istimewa dianugerahkan Allah, yang bebas dari bencana besar seperti gempa bumi dan tsunami, selain ada minyak dan gas yang boleh dieksport, pelbagai kekayaan logam, kayu kayan bermutu tinggi, pengeluar kelapa sawit dan getah terbesar di dunia.

Katanya, jumlah penduduk kecil sekitar 32 hingga 35 juta tidak termasuk pendatang asing yang halal dan haram, namun negara kini sudah berhutang lebih RM1.4 trilion.

“Singapura yang tidak ada apa-apa sudah ada lebihan simpanan mencecah trilion. Pelik tapi benar. China, penduduknya 1.4 bilion juga maju dan membangun secara luar biasa dalam tempoh 20 tahun sahaja.

“Indonesia penduduknya lebih 280 juta makin terserlah kemajuan dan kehebatan nya. Negara ini tidak ada tolak ansur dengan rasuah. China hukuman tembak sampai mati terhadap perasuah. Di Indonesia sudah ramai menteri dan pegawai tinggi kerajaan di hukum penjara dan dipecat kerana rasuah.

“Di Malaysia bukan sahaja hutang luar biasa tinggi, tapi nilai ringgitnya jatuh begitu teruk sekali, tetapi media arus perdana pro kerajaan memaparkan berita bagus belaka dengan pelbagai statistik seperti ‘ringgit ditutup teguh berbanding dollar Amerika,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, ujar beliau, harga barang keperluan naik dan kos sara hidup rakyat pula melambung naik serta berdepan dengan krisis makanan, sekali gus negara sudah masuk alam indah khabar dari rupa.

Katanya, jika kekayaan negara ditadbir urus dengan bersih dan jujur serta perancangan yang tidak mengizinkan berlakunya rasuah dan pembaziran, rakyat Malaysialah adalah antara yang paling bahagia di dunia ini.

“Rakyat patut terima pendidikan percuma, perubatan percuma dan golongan miskin boleh rumah percuma tanpa mengira kaum.

“Jika rakyat mahu baiki kerosakan negara yang teruk sekarang dan kembali hidup sejahtera, berhijrahlah kepada parti dan pemimpin yang bersih dan bermoral, berintegriti, tegas dan tidak hipokrit serta munafik.

“PRU15 adalah perubahan yang mesti dilakukan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast