Kanak-kanak perempuan yang menghidap kanser ‘Germ Cell Tumor’ atau tumor di mulutnya sejak lahir, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 4, kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan kuman.

MELAKA – Kanak-kanak perempuan yang menghidap kanser Germ Cell Tumor atau tumor di mulutnya sejak lahir, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 4, kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan kuman.

Berita sedih itu dikongsikan bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 28, dalam hantaran melalui Facebook (FB) milik beliau sebenar tadi sambil menyifatkan serangan kuman berkemungkinan beserta virus itu agak kuat dan cepat.

Menurutnya, situasi itu amat mengejutkan mereka sekeluarga kerana serangan bermula Jumaat lalu  berbeza daripada apa yang pernah dialami Ainul sebelum ini.

“Ainul start (mula) tunjuk tanda pada Jumaat lalu, itu pun hanya batuk tahap biasa dan secretion mula banyak walaupun dia belum demam pada hari tersebut.

“Sebelum ini pun, memang kami sudah bersedia dengan paracetamol, jika dia demam sebab pernah dua tiga kali berlaku.

“Hari Sabtu, Ainul mula muntah sedikit setiap kali feeding (menyusu) dan nampak dia tak aktif dan suhu badan meningkat sikit,” katanya menerusi hantaran FB itu.

Tambahnya, dia dan isteri kemudian memberi paracetamol dan tuam badannya

“Pada sebelah tengah malamnya, sewaktu menyusu, Ainul muntah semua susu yang dia minum dan cirit birit dan situasi sama berlaku pada awal pagi Ahad.

“Melihat keadaannya yang tidak okay, kami bawa jumpa GP (doktor) untuk buat pemeriksaan sebelum doktor segera mengarahkan kami segera membawa Ainul ke hospital,” katanya.

Tambah Ahmad Safiuddin, hasil pemeriksaan lanjut, Ainul kemudian terpaksa ditahan di wad dan prosedur x-ray menunjukkan paru-parunya dan ususnya dipenuhi penuh tompok.

“Doktor memaklumkan dalam tempoh tiga hari sahaja, jangkitan kuman itu sangat kuat dan pantas sehingga hari ini doktor terpaksa putuskan untuk gunakan alat bantuan pernafasan kepada Ainul.

“Ini kerana kuman atau virus itu mula merebak hampir di semua tempat dan para doktor di sini buat sehabis baik dan sekarang ini kita hanya perlu tunggu dan berdoa, apakah respon tubuh Ainul.

“Mohon doakan Ainul berjaya lawan ye dan Ainul sekarang sedang tidur. Punca jangkitan kuman? Wallahualam. Sesungguhnya kami tak nampak kuman itu,” tulisnya sambil meletakkan emoji tangisan.

Kisah Ainul Mardhiah pernah menggemparkan rakyat negara ini yang simpati dengan nasibnya menderita tumor di mulut ketika berusia lapan bulan.

Keluarga itu kemudian berlepas ke London bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital kanak-kanak di London pada 10 Jun 2019.

Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.

Kisah Ainul Mardhiah bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia malah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast