Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mempersoalkan apa status pusat penyembelihan khas di luar negara antaranya di India bagi tujuan import bekalan daging ke negara ini.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu kini seakan lenyap tanpa sebarang berita.

“Sekarang saya tidak tahulah apa kedudukannya. FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) boleh jawab (status pusat sembelihan ini) sebab yang makan daging orang Melayu tetapi kita mahu import pun tak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Tajuddin juga menggesa agar kerajaan mengawal monopoli kartel daging di negara ini.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada kartel-kartel pengimport daging supaya rantaian pengeluaran di negara dapat dikawal selia.

“Masa saya dulu, kita sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk membanteras kartel ini. Ada dua, tiga syarikat yang kawal import bernilai RM2 bilion dan apabila ada bumiputera mahu import, tak boleh sebab dikawal oleh sindiket ini.

“Sindiket ini bekerjasama dengan pengeksport dari India dan Australia. Berlaku sampai sebegitu rupa.

“Kalau ada yang mahu masuk yang baharu terutama bumiputera, mereka tidak bagi peluang langsung kerana dikawal dua, tiga syarikat (pengimport) ini,” ujarnya.

MAFI hari ini membentangkan RUU Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 bacaan kali kedua bertujuan untuk meminda Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Akta 141). – MalaysiaGazette