DUN Selangor bertafakur selama satu minit mengikut kepercayaan masing-masing sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdul Khalid.

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bertafakur selama satu minit pada pukul 11.30 pagi ini untuk memberi penghormatan terakhir kepada mantan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Usul itu dibacakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selepas sidang DUN ditangguhkan sehingga pukul 2.30 petang ini bagi memberi peluang kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor hadir majlis pengebumian.

“Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian, saya ingin memaklumkan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang merupakan bekaas ADUN Ijok dari 8 Mac 2008 hingga 5 Mei 2013 yang juga merupakan bekas ADUN Pelabuhan Klang dari 6 Mei 2013 hingga 9 Mei 2018 dan mantan Menteri Besar Selangor bermula 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014 telah meninggal dunia semalam 31 Julai 2022 kira-kira pukul 11.08 malam.

“Sebagai penghormatan, saya memohon dewan ini bertafakur selama satu minit mengikut kepercayaan agama masing-masing. Ahli Yang Berhormat sekelian dimohon berdiri,” katanya ketika membaca usul penghormatan terakhir di sidang DUN pagi ini.

Menurut Amirudin, Allahyarham Abdul Khalid banyak berjasa kepada kerajaan Selangor selama dua penggal dengan menyelaraskan beberapa program yang telah memberi impak kepada rakyat dari dulu hingga kini.

Antaranya ialah penyusunan dan pembentukan merakyatkan ekonomi yang sekarang dikenali sebagai Iltizam Selangor Penyayang, pembentukan serta idea untuk membangunkan pesisir kawasan Sungai Klang yang ketika ini menjadi Selangor Maritime Gateway (SMG) dan pembentukan serta pengukuhan Menteri Besar Perbadanan (MBI) sebagai sebuah institusi yang berdaya saing.

“Saya dengan ini memohon sebagaimana mengikut Peraturan 26 (C) dan Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor hendaklah ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang bagi memberikan peluang kepada majlis pengebumian Allahyarham dan memberi peluang kepada ahli-ahli Dewan khususnya untuk melakukan ziarah kematian itu,” katanya. – MalaysiaGazette