KUALA LUMPUR – Keputusan Datuk Seri Jamal Md Yunos melepaskan jawatan Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor yang disandangnya sejak 2019 tidak bercanggah dengan mana-mana fasal dalam Perlembagaan BN dan UMNO.
Beliau berkata, sebelum tindakan itu diambil, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu telah merujuk kepada pucuk pimpinan yang akhirnya memberi restu kepada hasratnya itu.
“Mereka (pucuk pimpinan) menghormati keputusan saya kerana pendirian saya itu ikhlas dan sudah mengambil kira setiap aspek untuk membuat sedikit transformasi dalam pengurusan tertinggi BN Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar mengumumkan pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari BN Selangor yang baharu pada majlis penutupan Konvensyen BN Selangor di Shah Alam, semalam.
Selain itu, Jamal pula dilantik sebagai Pengarah Komunikasi BN Selangor yang baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Isham Jalil sebelum ini.
Dalam pada itu, langkah meletakkan Tengku Zafrul di dalam pengurusan tertinggi BN Selangor bukan sahaja memantapkan kewangan parti, bahkan bakal membawa kemenangan kepada BN dalam pilihan raya akan datang.
“Saya mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada Tengku Zafrul yang kini sudah secara rasminya berada dalam keluarga BN Selangor dan UMNO Selangor,” katanya.
Menurutnya lagi, pelantikan beliau sebagai Pengarah Komunikasi BN Selangor yang baharu bagi memantapkan pelaksanaan strategi serta gerak saraf parti dengan lebih komprehensif untuk berdepan pilihan raya.
“Saya berharap semua pihak dalam jentera pilihan raya BN Selangor dapat bekerjasama dalam melakukan gerak kerja komunikasi dan penerangan parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette