Dr. Ibrahim (tiga dari kanan) mempengerusikan Mesyuarat ADT Putra di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) meramalkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada tempoh akhir penggal PRU-14 iaitu Mei tahun depan.

Ini berikutan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sudah meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti dan diadakan enam bulan selepas PRU.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, dengan itu Perdana Menteri yang juga Naib Presiden paling kanan UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu tergesa-gesa memanggil PRU-15 sama ada paling awal Oktober atau November ini.

“Keputusan RoS juga menarik nafas lega pemimpin UMNO yang terus berkuasa sekarang, yang sebelum ini agak gusar jika pemilihan diadakan lebih awal dari PRU kerana bimbang (jawatan) mereka akan dicabar.

“Peluang beberapa bulan yang ada ini memberi ruang kepada Ismail Sabri untuk menyelesai dan mengatasi pelbagai kemelut termasuk inflasi, kejatuhan ringgit dan lain-lain masalah yang bertimbun.

“Alasan baru pula, PRU-15 mesti segera diadakan sebelum pembangkang bersatu dalam khemah besar mereka,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra di Kelab Sultan Sulaiman di sini malam tadi.

Beliau juga berpendapat, jika PRU-15 diadakan segera dan kluster mahkamah terus bertanding akan memberi kelebihan kepada pembangkang.

Kata Ibrahim, pembangkang akan memalu gendang rasuah sekuat mungkin untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN), sekali gus hilang sokongan undi pada PRU-15 nanti.

“Jika ditunggu selepas Mei 2023, mungkin kes kluster mahkamah sudah selesai dan ditakdirkan dibebaskan dari tuduhan, ianya memberi kelebihan kepada UMNO. Atau jika didapati bersalah, maka muka baru akan ditampilkan untuk meminpim UMNO. Ini juga memberi kelebihan kepada parti itu.

“Oleh itu, Perdana Menteri tidak perlu kalut untuk mengadakan PRU lebih cepat kerana kalau kluster mahkamah bertanding kemudian terpaksa mengosongkan kerusi jika didapati bersalah, maka terpaksa diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Bukankah ini membazir duit rakyat. Janganlah UMNO membuat Malaysia ini seperti milik mereka. Perdana Menteri diharapkan membuat keputusan yang waras dan bijak,” ujar beliau.

Dalam mesyuarat itu, beliau mengumumkan pelantikan Syed Abdul Razak Syed Alsagof sebagai Ketua Penerangan Putra yang baharu mengantikan Mohd Asraf Rosli yang bertukar ke jawatan Bendahari Agung.

Syed Abdul Razak, katanya, merupakan tokoh yang banyak pengalaman dalam dunia penulisan, mahir berkomunikasi dan lulusan universiti, manakala Mohd Ashraf pernah bekerja di syarikat Helwet Packed di New York selama empat tahun, selain pernah bertugas di Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di Jabatan Perdana Menteri.

“Mohd Asraf adalah graduan perakaunan dan kewangan dan amat sesuai jawatan Bendahari Agung yang sebelum ini dipegang Hamzah Zainudin, yang mengalami keuzuran dan mohon mengundur diri.

“ADT merakamkan ucapan setinggi terima kasih kepada Hamzah yang banyak membantu Putra sejak penubuhannya,” katanya.

Ditanya kenapa Putra selalu memilih Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru sebagai lokasi mesyuarat dan pertemuan, Dr. Ibrahim berkata, ia adalah tempat kebangkitan perjuangan Melayu sebelum merdeka.

Katanya, nostalgia itu boleh dijadikan oleh Putra sebagai tempat mengasah semangat agar perjuangan Melayu sentiasa segar dan tidak lesu serta sentiasa memberi keinsafan.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu menasihatkan rakyat agar tidak terkeliru dengan laporan kononnya Ringgit Malaysia (RM) semakin kukuh.

Ujar beliau, itu semua adalah propaganda pihak kerajaan dengan menggunakan media mereka untuk melaporkan konon RM ditutup kukuh berbanding Dollar Amerika iaitu RM4.40 bagi 1 USD.

“Orang kampung, orang desa yang tidak tahu selok belok kewangan bertepuk sorak dengan ‘pengukuhan’ itu, sedangkan sebelum ini RM hanya RM3.30 hingga RM3.80 setiap 1 USD.

“Kalau dibandingkan dengan Bhat Thailand, Dolar Singapura, Rupee Indonesia dan nilai mata wang lain-lain negara, jauh negara kita ketinggalan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast