Oleksiy Vadatursky dan isterinya, Raisa. Foto Daily Mail

 

MYKOLAIV – Salah seorang ahli perniagaan terkaya Ukraine telah terbunuh bersama isterinya dalam serangan besar-besaran Rusia di bandar selatan Mykolaiv.

Oleksiy Vadatursky, 74, dan isterinya Raisa maut apabila peluru berpandu membedil kediaman mereka semalaman.

Vadatursky memiliki Nibulon, sebuah syarikat yang terlibat dalam eksport bijirin.

Dia juga pernah menerima anugerah “Hero of Ukraine”.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyifatkan kematian Vadatursky sebagai satu kehilangan besar.

Datuk Bandar Mykolaiv, Oleksandr Senkevych berkata, ia mungkin pengeboman Rusia paling teruk di bandar itu setakat ini.

Terdapat kerosakan pada sebuah hotel, kompleks sukan, dua sekolah dan stesen servis, serta rumah.

Mykolaiv berada di laluan utama ke Odesa, pelabuhan terbesar Ukraine di Laut Hitam dan telah dibedil berulang kali sejak Rusia melancarkan pencerobohannya pada 24 Februari.

Sejumlah rumah di Mykolaiv musnah dalam serangan terbaru Rusia itu.

Pemimpin wilayah itu, Vitaliy Kim, berkata, “sumbangan Vadatursky kepada pembangunan industri pertanian dan pembinaan kapal, pembangunan wilayah itu tidak ternilai”.

Penasihat pejabat Presiden Zelensky percaya Rusia sengaja menyasarkan ahli perniagaan itu.

Mykhailo Podolyak berkata, salah satu peluru berpandu telah membedil bilik tidur ahli perniagaan itu, sambil mengesahkan tidak syak lagi bedilan itu telah diarahkan.

Nibulon telah membina banyak kemudahan penyimpanan dan infrastruktur lain untuk mengeksport bijirin.

Ukraine dan Rusia adalah pengeksport utama gandum dan bijirin lain dan gangguan eksport yang disebabkan oleh perang menyebabkan harga makanan melonjak di seluruh dunia.

Kedua-dua negara menandatangani perjanjian untuk mengurangkan krisis makanan.

Namun, perjanjian itu hampir digagalkan oleh serangan Rusia ke atas pelabuhan Odesa pada hari berikutnya.

Penyambungan semula eksport Ukraine telah ditangguhkan lagi oleh pemeriksaan keselamatan.

Tetapi pada hari Ahad, Turki berkata, kapal pertama yang membawa bijirin dijangka meninggalkan Odesa pada pagi Isnin.

Ukraine menuduh tentera Rusia mencuri bijirin dari ladang di tanah yang diduduki dan mengeksportnya melalui Crimea – semenanjung selatan Ukraine namun Rusia menafikan dakwaan Ukraine. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast