Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim . Foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis mengesan satu lagi taktik penipuan dalam talian membabitkan nama Skim Bantuan Khas Covid-19 yang dilihat modus operandi terbaharu dari scammer untuk melesapkan wang orang ramai.

Ketua Polis Kuala Lumpur,  Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pada 28 hingga 30 Julai lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur telah menerima tiga laporan berkenaan penipuan skim itu.

Dalam ketiga-tiga kes tersebut, mangsa merupakan seorang warga tempatan berusia dalam lingkungan 26 tahun hingga 48 tahun telah menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menawarkan Bantuan Khas Covid-19 berjumlah RM500 seorang.

“Mangsa pertama adalah seorang penolong pengurus sebuah syarikat swasta mengalami kerugian RM3,510 diikuti mangsa kedua pemandu e-hailing (RM430) dan kakitangan bahagian pentadbiran berkerugian RM610.

“Bantuan tersebut kononnya akan dikreditkan ke dalam akaun hanya selepas mangsa mengisi butiran peribadi melalui satu pautan online yang akan disediakan oleh sindiket skim penipuan itu.

“Setelah mangsa terpedaya dengan taktik scammer dan selesai mengisi butiran peribadinya di dalam pautan tersebut, mangsa-mangsa mendapati baki akaun simpanan bank mereka telah berkurangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibatnya, tambah Azmi, ketiga-tiga mangsa telah mengalami kerugian berjumlah RM4,550.

Ujarnya, kertas siasatan telah dibuka dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Kementerian Kesihatan juga telah mengeluarkan pengumuman bahawa mereka tidak pernah menghantar sebarang pesanan berkaitan pemberian bantuan kewangan.

“Orang ramai dinasihati agar melayari Twitter MySejahtera untuk mendapatkan pengesahan daripada Mysejahtera berkenaan Skim Bantuan Khas Covid-19 ini.

“Bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan orang ramai dinasihati agar menyemak terus dengan egensi atau kementerian berkaitan mengenai pemberian sebarang bantuan kewangan dari kerajaan.

“Jangan sewenang-wenangnya memuat turun sebarang pautan yang tidak berkaitan serta tidak dapat memastikan kesahihannya tanpa usul periksa dengan pihak berwajib terlebih dahulu agar elak terjerat dalam scam.

“Paling penting sekali janganlah sesekali memberikan atau mendedahkan butiran peribadi dan akaun perbankan anda kepada pihak ketiga tidak dikenali,” tegasnya.- MalaysiaGazette