Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil tidak melepaskan peluang menggunakan perkhidmatan Dego Ride selepas sidang media berkenaan e-hailing motosikal sebagai salah satu penyelesaian Ôfirst mile/last mileÕ bagi pengangkutan awam di Pusat Kerja Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya membenarkan perkhidmatan e-hailing kenderaan dua roda sebagai usaha membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan mobiliti dalam kalangan warga kota.

Perkara itu disuarakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang memberitahu, kementerian-kementerian berkaitan perlu mengkaji semula usaha untuk membenarkan pengoperasian perkhidmatan seumpama itu bagi memudahkan perjalanan ulang-alik dalam jarak dekat.

Menurutnya, perkhidmatan itu mendapat permintaan daripada orang ramai dan terdapat hujah untuk membenarkan ia beroperasi dalam radius sehingga 10 kilometer.

“Contohnya, jika dari rumah anda mahu ke stesen MRT atau dari pejabat ke stesen LRT, perkhidmatan sebegini lebih ekonomik dan dapat membantu mengelak kesesakan lalu lintas.

“Ia amat terpakai di kawasan penduduk yang padat ini di mana mereka terlibat kesesakan trafik yang tinggi pada waktu puncak.

“Jadi, saya berharap perkhidmatan Dego Ride atau mana-mana jenis penyedia perkhidmatan transit awam yang serupa akan dapat diterima oleh semua pihak termasuk penggubal undang-undang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Fahmi berkata, langkah menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan e-hailing motosikal itu juga boleh membantu usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar rendah karbon menjelang 2030.

Dengan memberikan contoh di kawasannya, kata beliau, penduduk yang membuat janji temu di hospital berhampiran terpaksa mengeluarkan duit poket yang lebih sekiranya menggunakan perkhidmatan e-hailing sedia ada yang sememangnya mahal dan membebankan.

Sementara itu, pengasas perkhidmatan e-hailing motosikal Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berharap kerajaan dapat mengawal selia perkhidmatan itu supaya kedua-dua penunggang dan penumpang akan menggunakannya dengan yakin.

Beliau berkata, pihaknya melihat keadaan lalu lintas kini menjadi lebih teruk terutama selepas kerajaan membuka kembali apabila aktiviti ekonomi seleoas wabak Covid-19.

“Pada masa sama, kami lihat permintaan terhadap perkhidmatan ini meningkat tetapi, ramai yang ragu-ragu untuk menggunakan perkhidamatan ini kerana mereka tidak pasti sama ada perkhidmatan kami ini sah atau sebaliknya,” katanya.

Tambah beliau, tinjauan yang dilakukan pihaknya di stesen-stesen LRT baru-baru ini menunjukkan orang ramai menyambut baik perkhidmatan itu danrata-rata menyatakan ia sangat sesuai di kawasan Lembah Klang kerana perkhidmatan itu sendiri tidak mahal bayaran tambangnya dengan tempoh masa perjalanan lebih pantas.

Dego Ride sebelum ini memulakan operasi pada Julai 2015 namun terpaksa dihentikan dua tahun kemudian disebabkan kebimbangan mengenai keselamatan jalan raya.

Syarikat itu kini menyediakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Dego Ride kini mempunyai kira-kira 500 penunggang di jalan raya yang menurut syarikat itu tidak mencukupi untuk memberi perkhidmatan di kawasan berpenduduk padat di Lembah Klang seperti Lembah Pantai di mana permintaan untuk sambungan ke sistem rel berdekatan adalah tinggi. – MalaysiaGazette