Murid-murid perlu dapat makanan berkhasiat

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan agensi pusat berhubung kadar baharu program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), kata Kementerian Pendidikan (KPM).

“Mengambil kira bahawa kadar ini telah digunakan semenjak enam tahun yang lalu, KPM sedang berbincang dengan agensi pusat kadar baharu bantuan RMT.

“Walau bagaimanapun, perkara ini (menaikkan kadar RMT) adalah tertakluk kepada kelulusan dan keupayaan kewangan semasa kerajaan,” menurut kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

KPM menerusi satu kenyataan menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) yang ingin tahu perancangan kerajaan untuk menaikkan jumlah peruntukan RMT di sekolah-sekolah yang masih lagi rendah bersesuaian dengan kenaikan kos barang mentah pada waktu ini.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat pengusaha kantin sekolah yang tidak mahu memperbaharui kontrak membekalkan RMT jika kadar sekarang tidak dinaikkan seiring dengan kenaikan harga barangan ketika ini.

Menurut laporan itu, kadar sedia ada iaitu RM3 bagi setiap murid, membebankan pengusaha kerana ia tidak sepadan dengan modal yang dikeluarkan.

Menurut kenyataan itu, KPM sentiasa menambahbaik program RMT dari masa ke semasa.

Sebagai contoh, mulai 1980, pemberian susu kepada murid sekolah rendah yang layak telah disediakan sebanyak dua kali seminggu di bawah Program Susu Sekolah (PSS), ujarnya.

“PSS kemudiannya digabungkan dengan RMT yang mana mulai tahun 2022 pemberian susu ditingkatkan kepada setiap hari persekolahan.

“Kadar semasa RMT adalah sebanyak RM2.50 di Semenanjung Malaysia dan RM3.00 di negeri Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan. Kadar ini mula digunakan mulai tahun 2016,” jelas KPM.

Sebelum ini, Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md Desa, menyarankan supaya KPM menyemak semula dan menaikkan kadar RMT kepada RM4 dan RM5 bagi murid sekolah rendah di seluruh negara, berbanding antara RM2.50 dan RM3 ketika ini. – MalaysiaGazette