KUALA LUMPUR – Suria KLCC mengesahkan seorang pengunjung maut dipercayai terjatuh dari tingkat atas pusat beli-belah tersebut dalam kejadian hari ini.
Menerusi satu kenyataan malam ini, pihak pengurusan Suria KLCC turut melahirkan rasa dukacita atas insiden tersebut.
“Amat sedih bagi pihak kami memaklumkan individu berkenaan telah meninggal dunia,” katanya.
Pengurusan Suria KLCC turut menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa yang sedang menyiasat insiden tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kejadian yang berlaku pada jam 9.38 malam membabitkan seorang wanita tempatan.
Mangsa berusia 23 tahun.
Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung insiden itu dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kelak.
Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette