Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan Foto MUHD NA'IM, 02 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) boleh berlaku bila-bila masa, mungkin dalam tempoh sebulan dua lagi, kata Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Katanya, apabila tiba waktunya nanti, rakyat khususnya penjawat awam diharap dapat membuat pilihan yang sebaiknya mengikut pihak yang mempunyai aspirasi menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2030.

“Mungkin tak lama lagi, boleh jadi sebulan dua. Apabila sampai masa nanti, buatlah pilihan B iaitu bijaksana”

“Saya minta penjawat awam buatlah yang terbaik demi kestabilan politik untuk pastikan negara kita terus maju”

“Mereka (rakyat) dah beri peluang kepada semua parti untuk mentadbir negara”

“Kalau sebelum ini kita boleh cakap hanya satu parti sahaja memerintah selama 60 tahun tapi kini kita berada dalam keadaan yang dah beri peluang kepada semua parti”

“Sekarang rakyat boleh menilai sendiri parti dan pemimpin manakah yang betul-betul mempunyai ‘DNA’ jiwa rakyat” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, MIC sudah mempunyai senarai calon yang akan bertanding pada PRU15.

“Kita akan kekal dengan bilangan kerusi yang kita (MIC) bertanding sebelum ini”

“Sebelum ini kita bertanding sembilan kerusi Parlimen, dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kita akan kekal dengan jumlah itu”

“Pucuk pimpinan MIC juga terbuka untuk sebarang perbincangan dengan parti-parti komponen demi kebaikan Barisan Nasional (BN)” jelas beliau sambil menambah beliau akan mempertahankan kerusi tapah.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, parti itu sedia berbincang dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional untuk melakukan pertukaran kerusi sekiranya diperlukan.

Terdahulu beliau menyerahkan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 441 penjawat awam Kementerian Sumber Manusia di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya, di sini, hari ini.

Ujar Saravanan dalam ucapannya, penganugerahan ini bukanlah sekadar satu manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang terpilih, tetapi ia juga dapat dijadikan sebagai penyuntik semangat kepada warga Kementerian Sumber Manusia yang lain.

Sementara itu apabila ditanya mengenai progres penarikan balik pembekuan tenaga kerja Indonesia, Saravanan menjelaskan, kementeriannya telah menyelesaikan semua proses yang diperlukan khususnya dari Bangladesh dan Indonesia dan kini hanya terserah kepada pihak majikan untuk membawa mereka masuk ke negara.

As soon as possible (secepat mungkin) boleh masuk.. 14 negara sumber dah pun terbuka untuk pengambilan pekerja, saya harap tiada lagi yang mempolitikkan isu pekerja asing, isu itu dah berlalu” katanya. – MalaysiaGazette.