KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum membuat keputusan berhubung pembinaan lapangan terbang kecil yang baharu di Pulau Tioman.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, tiada kelulusan diberikan oleh kerajaan setakat ini kerana kelulusan cadangan itu tertakluk kepada Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Nasional (NASP), yang bermula pada Mac lalu.
Kajian itu dijangka mengambil masa 18 bulan dan meliputi semua 42 lapangan terbang sedia ada termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu.
Menurutnya, kajian itu juga turut mengkaji sama ada lapangan terbang Tioman mampu berdaya saing atau sebaliknya.
“Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) Ke-36 (Bil.3/2020) pada 27 Oktober 2020 antara lain telah bersetuju secara dasar dengan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu tertakluk kepada keperluan untuk menyediakan beberapa laporan teknikal seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (ElA), Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA), Penilaian Risiko Marin, Pengajian Pemetaan Batu Karang dan Kaedah Pencemaran dan Langkah-Langkah Tebatan yang Mengganggu Tanah.
“Mesyuarat MPFN tersebut juga memutuskan bahawa cadangan ini perlu diangkat semula untuk pertimbangan majlis. Dalam hubungan ini, cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu juga adalah tertakluk kepada hasil Kajian NASP yang telah bermula pada Mac lalu, katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Ka Siong berkata demikian ketika menjawab soalan lisan kedua daripada Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) yang mahu tahu sama ada Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu yang dicadangkan oleh sebuah syarikat swasta telah mendapat kelulusan dasar daripada kerajaan.
Anthony juga bertanya apakah projek tersebut berdaya saing dan memenuhi kriteria kelestarian alam sekitar.
Menjawab soalan itu, Ka Siong berkata Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) akan membuat kaijan terhadap cadangan itu serta pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan.
Berhubung penentuan kriteria kelestarian alam sekitar bagi projek yang dicadangkan, Ka Siong berkata, perkara itu kini dalam penelitian Jabatan Alam Sekitar.
Berjaya Corporation Berhad pada tahun 2018 mengumumkan merancang membina lapangan terbang bernilai RM1.2 bilion di pulau itu.
Projek pembinaannya akan dibiayai oleh dana dalaman dan pinjaman kumpulan tersebut.
Tetapi, Tan Sri Vincent Tan berkata, lapangan itu akan diuruskan oleh kerajaan jika ia dibina.
Namun, Malaysia Airports Holdings Bhd yang mengulas cadangan itu berkata, projek berkenaan tidak diluluskan kerana kajian penilaian kesan alam sekitar menunjukkan projek berkenaan akan melibatkan tebus guna tanah. – MalaysiaGazette