najib razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – “Penipunya DAP”. Itu komen Datuk Seri Najib Razak selepas bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengaku beliau dan Mohamad Sabu menjadi penyelamat dana RM555 juta milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Najib menegaskan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan penyelamat tetapi telah mengambil alih konsesi AES daripada LTAT dengan membayar balik kos yang LTAT bayar kepada Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd dengan harga RM555 juta pada tahun 2015.

Selepas mengambil alih, PH bukan sahaja menjenamakan semula AES kepada AWAS tetapi turut memansuhkan diskaun dan pengecualian bagi saman AWAS.

Bahkan kamera AWAS turut ditambah.

“Kesalahan tidak mematuhi had laju dan melanggar lampu isyarat melalui kamera AWAS akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun lagi.

“Sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Najib, pada tahun 2018 sahaja, sebanyak 84,116 saman dikeluarkan membabitkan 77,233 saman berkaitan kesalahan had laju, manakala 6,883 saman membabitkan kesalahan lampu isyarat.

Jadi, 84,116 saman dengan denda sehingga RM2,000 adalah bersamaan dengan kutipan saman sehingga RM169 juta bagi tahun 2018 sahaja.

“Bayangkan berapa banyak yang LTAT telah rugi sebab kerajaan PH mengambil alih AES dengan membayar balik kos sebenar kepada LTAT?

”Korang selamatkan LTAT? Tidak. Korang menafikan LTAT daripada keuntungan setiap tahun dari konsesi jangka masa panjang tersebut yang mungkin cecah berbilion-bilion ringgit.

”Nak mengaku hero telah selamatkan LTAT dan veteran anggota keselamatan?

”Okaylah.. sebab itu dividen LTAT bawah kerajaan PH bagi tahun 2018 cuma 2% dan cuma 2.5% bagi tahun 2019. Berbanding dividen + bonus sebanyak 12% pada tahun 2016 dan 12.5% bagi tahun 2017 bawah kerajaan BN.

”Penipunya DAP,” ujar Najib.

Kelmarin, Loke Siew Fook (PH-Seremban) memberitahu Dewan Rakyat bahawa pemimpin DAP yang menyelamatkan LTAT berjumlah RM555 juta daripada kerugian.

Loke berkata beliau, sebagai menteri pengangkutan ketika itu, beliau mencadangkan agar dana LTAT berjumlah RM555 juta yang dibelanjakan untuk mengambil alih konsesi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dibayar balik.

Cadangan itu dipersetujui oleh Mohamad yang ketika itu merupakan Menteri Pertahanan.

Ketika membacakan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mengenai projek AES, beliau berkata, Perdana Menteri ketika itu Najib Razak telah mencadangkan LTAT mengambil alih AES daripada syarikat konsesi Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd dengan harga RM555 juta.

Loke berkata, berlaku campur tangan politik di peringkat tertinggi dan Najib cuba menggunakan dana LTAT untuk menyelesaikan masalah yang diwujudkan oleh kerajaan.

“Ia adalah seorang menteri pengangkutan dari DAP, sering difitnah oleh pihak lain sebagai anti-Melayu dan anti-Bumiputera, yang mencadangkan agar RM555 juta dikembalikan kepada LTAT.

“Sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak membuat keputusan sedemikian, wang LTAT akan ‘hangus’ dan veteran akan menghadapi masalah,” katanya semasa perbahasan rang undang-undang pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera. – MalaysiaGazette