SHAH ALAM – Pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor adalah relevan bukan sahaja kerana pengalaman dan kepakarannya bahkan beliau adalah ahli UMNO yang sah.
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pelantikan jawatan politik kepada Menteri Kewangan itu dilakukan melalui perbincangan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum dimuktamadkan.
“Dah dia (orang) BN, saya Pengerusi BN (Selangor), lepas itu saya bincang dengan Presiden (UMNO) dan dia memang ahli UMNO.
“Macam Tan Sri Muhyiddin Yassin (orang) Bersatu, bukan UMNO, Zafrul (orang) UMNO, sebab itu saya lantik dia jadi Bendahari BN Selangor.
“Kalau dia ahli Bersatu tak bolehlah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mempersoalkan pelantikan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor yang diumumkan Noh pada majlis penutupan Konvensyen BN Selangor di Setia Alam pada Ahad lalu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu melahirkan rasa hairan dengan sikap Tengku Zafrul yang menyertai BN sedangkan beliau dilihat rapat dengan Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu. – MalaysiaGazette