KUALA LUMPUR – Bar emas seberat 50 gram antara hadiah menarik bakal menjadi milik pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang akan berlangsung esok selama 11 hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti telefon bimit, basikal lipat, tab, seterika stim, television dan banyak lagi.
Tawaran mengujakan ini tidak lain tidak bukan bertujuan merancakkan lagi penglibatan serta komitmen Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang bertanggungjawab mengendalikan MAHA selepas acara gemilang ini terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.
Menurut Pemangku Pengurus Besar NAFAS, Saripol Baharin Karim, menariknya tahun ini, NAFAS selaku Rakan Penaja MAHA 2022 akan menganjurkan beberapa aktiviti dan juga peraduan yang menjanjikan hadiah menarik untuk dibawa pulang oleh para pengunjung yang ke Pavilion NAFAS di Dewan A, Maeps sepanjang 11 hari MAHA berlangsung.
Katanya, melalui peraduan Jawab dan Menang, para pengunjung ke Pavilion NAFAS hanya perlu menjawab soalan mudah dan berpeluang menyertai cabutan bertuah. Istimewanya, hanya seorang pengunjung bertuah akan memenangi Bar Emas seberat 50 gram.
NAFAS turut menawarkan jualan harga murah beberapa produk terpilih dari jenama Peladang dan juga jualan penghabisan stok minyak pelincir jenama NAFASLUBE.
Selain itu, tiga orang cef yang akan membuat demo masakan berasaskan produk jenama Peladang turut dibawa khas oleh NAFAS. Bagi pengunjung yang ingin beramah mesra dengan tukang masak hebat ini bolehlah melangkah ke Pentas Utama Dewan A untuk melihat demo masakan oleh Cef Naem, Cef Danish Harraz dan Cef Zam Akmal.
Penyertaan NAFAS juga dipanjangkan ke Laman Mekanisasi, Laman Padi dan Laman Agro- edutainment yang pastinya dimeriahkan dengan aktiviti serta mempamerkan produk- produk keluaran NAFAS.
Para pengunjung dan pemain industri dapat menggunakan peluang ini untuk melihat secara dekat dan mendapatkan maklumat lanjut terus melalui pempamer NAFAS di tempat-tempat tersebut.
Sebarang maklumat lanjut berhubung aktiviti dan program anjuran NAFAS sepanjang di MAHA 2022 boleh didapati dengan melayari platform media sosial NAFAS di Facebook, Instagram, Twitter dan Tiktok – Nafashq.