Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima cenderahati yang diserahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin semasa hadir ke Majlis Apresiasi Kementerian Dalam Negeri ketika di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini meluangkan masa menghadiri majlis Apresiasi Kementerian Dalam Negeri.

Ketibaan beliau pukul 8.30 malam disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga tuan rumah pada majlis itu.

Turut hadir ahli-ahli Parlimen yang diraikan termasuk Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Hamzah mengucapkan terima kasih kepada ahli Parlimen yang hadir.

Katanya, majlis berkenaan dianjur atas permintaan Perdana Menteri sendiri sebagai meraikan kelulusan tiga Rang Undang-Undang (RUU) yang dibawa ke sidang Dewan Rakyat kali ini.

“Pada sesi ini (Dewan Rakyat) buat pertama kalinya mungkin, Kementerian Dalam Negeri boleh, bukan hanya melengkapkan segala apa yang dipohon tetapi dapat capai kejayaan, ini semua atas kerjasama semuanya,” katanya.

Tiga RUU yang dilulus termasuk RUU Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pindaan) 2021 bagi pembubaran Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) yang diluluskan dengan lebih suara menyokong pada 18 Julai lepas.

Selain itu RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang dilulus dengan lebih suara menyokong pada 26 Julai.

Pada hari sama, turut diluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Usul Subseksyen 4(5) SOSMA itu diluluskan selepas undi belah bahagian, dengan menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju, 88 ahli Parlimen tidak bersetuju manakala 21 lagi ahli Parlimen tidak hadir. – MalaysiaGazette