Mohd Azafarudin Arifin

KUALA LUMPUR – Penganjuran “Oktoberfest” tidak wajar diteruskan kerana akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada keharmonian sosial dan masyarakat, malah turut terpalit kepada anak muda beragama Islam.

Ketua Penerangan Putra Bahagian Gombak, Mohd Azfarudin Arriffin berkata, pesta arak itu patut diperangi sepertimana gejala LGBT di negara ini, yang membawa kerosakan akhlak.

“Putra Bahagian ini membantah sebarang penganjuran pesta arak. Kita mahu kerajaan memantau setiap aktiviti yang tidak sihat daripada dianjurkan pihak tertentu.

“Ini kerana pesta itu menggalakkan lebih banyak berlaku keruntuhan akhlak dan moral di kalangan generasi muda serta dibimbangi ikut terpalit oleh yang beragama Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Semalam, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoal keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan festival “Oktoberfest” yang disifatkannya mencabuli prinsip Perlembagaan Negara.

Lim berkata, tindakan sedemikian bertentangan semangat penubuhan Malaysia dengan merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad, bahawa kerajaan menolak penganjuran acara minum arak secara terbuka kepada masyarakat awam.

Menurut Mohd Azfarudin, “Oktoberfest” atau festival arak atau bir diadakan secara tahunan di Munich, Jerman selama dua minggu berakhir pada Ahad pertama Oktober.

Perayaan itu, katanya, bermula pada 12 Oktober 1810 sebagai perayaan perkahwinan Putera Mahkota Bavaria, yang kemudiannya menjadi Raja Louis I, dengan Puteri Therese von Sachsen-Hildburghausen.

“Festival ini adalah budaya Jerman, bukan perayaan atau budaya bagi negara kita. Kita patut ketengahkan banyak lagi budaya serta perayaan yang dapat meningkatkan nama dan imej Malaysia di mata dunia.

“Tambahan pula, penganjuran festival ini membolehkan penyebaran Covid-19, sedangkan negara baharu sahaja masuk peralihan ke endemik selepas hampir dua setengah tahun dalam pandemik,” katanya.

Justeru, kata beliau jika pesta itu diteruskan juga, imej dan reputasi Malaysia yang disegani serta dihormati dunia sebagai satu negara Islam akan tercemar.

Beliau menyeru umat Islam di negara ini tidak terikut-ikut menyertai sambutan itu kerana boleh menjejaskan imej agama. – MalaysiaGazette