S. Gobi Krishnan
S. Gobi Krishnan

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kerana membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 di Dewan Rakyat.

S.Gobi Krishnan yang merupakan Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu Malaysia berkata, RUU yang dibentangkan di Parlimen oleh Khairy mungkin mempunyai matlamat yang baik namun bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Negara.

Ini kerana, RUU itu telah menyekat kebebasan beragama dan kebebasan mengamalkan agama dan budaya setiap kaum.

Dalam hal tersebut kata beliau, rokok dan arak adalah amalan sebilangan mazhab bagi mereka yang beragama Hindu serta telah menjadi budaya sejak berkurun-kurun.

“Maka apa jua undang-undang yang cuba mengubah perkara ini adalah bertentangan dengan hak kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

“Malah, saya sendiri berpendapat bahawa program kesedaran dan pendidikan itu lebih penting berbanding dengan cubaan mengawal penduduk melalui undang-undang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dengan memberikan contoh, Gobi Krishnan berkata, mesej umum mengenai rokok dan arak di pawagam sebenarnya tidak langsung mengurangkan tabiat merokok atau meminum minuman keras, namun hanya menggalakkan lagi tabiat itu.

Katanya, perkara itulah yang disebut psikologi terbalik atau ‘reverse psychology’ yang mana sesuatu tindakan dilakukan bagi mencapai matlamat bertentangan.

“Saya juga curiga, apakah tindakan YB Menteri Kesihatan ini adalah satu lagi cubaan terselindung syarikat rokok untuk meningkatkan jualan mereka.

“Malahan tindakan YB Menteri Kesihatan melonggokkan rokok dan vape dalam kategori yang sama nampak macam didalangi syarikat rokok untuk menghapuskan saingan mereka iaitu vape.

“…walhal banyak kajian di serata dunia yang menunjukkan bahawa vape adalah cara terbaik untuk mengurangkan jumlah perokok secara berperingkat. Namun, fakta ini nampaknya tidak diendahkan oleh pihak berkuasa kesihatan negara,” ujarnya.

Katanya lagi, Generational End Game (GEG) berkemungkinan satu lagi plot licik syarikat rokok untuk terus meningkatkan jumlah jualan mereka dengan menghapuskan saingan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast