Ahli MPP PKR Lee Chean Chung serta yang lain menunjukkan laporan polis berkenaan isu penipuan Macau Scam dan pemindahan wang tanpa pengetahuan daripada Tabung Haji hampir RM100,000 di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya. Foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Sistem keselamatan perbankan di bawah kelolaan Bank Negara Malaysia (BNM) yang lemah menjadi punca sindiket penipuan wang dalam talian terus berleluasa.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Lee Chean Chung berkata, kelemahan itu telah menyebabkan seorang mangsa kehilangan sebanyak RM98,900 dalam simpanan Tabung Haji (TH) walaupun tidak pernah menerima nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

“Saya memandang serius atas kelemahan sistem perbankan kita sehingga segelintir pencarum TH menjadi mangsa apabila kehilangan RM98,900 yang dipindahkan dari akaun TH kepada pihak ketiga ekoran kelalaian BNM.”

“Mangsa juga tidak pernah terima panggilan pengesahan dan tidak ada terima kod TAC daripada pihak TH tapi transaksi wang dari TH tetap diluluskan,” katanya dalam sidang media bersama mangsa penipuan kewangan dalam talian di sini hari ini.

Ahli MPP PKR merangkap ADUN Semambu, Lee Chean Chung  Foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2022.

Chean Chung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu kesal dengan pihak bank yang memaklumkan kepada mangsa bahawa proses mendapatkan butiran penerimaan akaun akan mengambil masa sebulan.

Susulan itu, beliau menggesa BNM dapat mencontohi Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) yang lebih efektif menangani masalah sindiket tersebut dan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan wang penyimpan.

“Bank OCBC Singapura pada awal tahun ini telah beri pampasan kepada mangsa scam dan mengakui hal itu kekurangan daripada pihak mereka. Maka, ganti rugi telah diberikan atas desakan bank negara mereka iaitu MAS. Malah mereka juga pantas bertindak dan berjaya mengutip semula wang yang disalur keluar oleh sindiket itu,” ulasnya.

Sebagai rekod, mangsa telah mengalami kerugian melalui empat transaksi dengan tiga daripadanya bertarikh pada 19 Julai yang lalu apabila RM60,000 daripada akaun TH telah dipindahkan secara terus ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali.

Pada hari yang sama, RM20,000 dalam akaun TH itu telah disalurkan ke Bank Islam milik mangsa yang kemudiannya dipindahkan ke akaun pihak ketiga dan kerugian selebihnya itu dipindahkan keesokan harinya.

Sehubungan itu, ADUN Semambu itu berharap BNM tidak sekadar menjadi ‘harimau’ atas kertas sahaja sebaliknya meningkatkan usaha untuk memperbaiki sistem keselamatan dan menyegerakan proses tuntutan semula. – MalaysiaGazette