KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang gagal menghadiri prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita Dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial boleh dianggap satu penghinaan.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, jawatankuasa itu yang ditubuhkan Parlimen bagi memastikan KDN selaku pihak eksekutif tidak menyalahgunakan kuasa dalam melindungi wanita dan kanak-kanak.
”Kita telah bermesyuarat untuk memanggil KDN untuk datang dan beri jawapan atau taklimat atau berjumpa dengan Jawatankuasa Pilihan Khas ini kerana kita nak tahu impak terhadap kanak-kanak dan ibu ini.
“Kita sedih kerana KDN telah membuat keputusan untuk tidak membuat pembentangan, tidak mahu datang berjumpa dengan kita.
“Ini satu perkara yang tidak wajar berlaku di mana Eksekutif tidak mahu datang berjumpa dengan kita,” katanya pada sidang media di Bilik Media Parlimen, hari ini.
Terdahulu, keputusan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik ditetapkan semula pada 5 Ogos.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk S. Nantha Balan akan menyampaikan keputusan mereka di mahkamah terbuka.
Dalam pada itu, Hannah juga menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun melakukan transformasi Parlimen khususnya melibatkan pindaan Perintah Tetap, seperti mana yang dilakukan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
“Kita nak Speaker melihat isu ini dan segera membuat penambahbaikan atau mengambil tindakan yang akan memperbetulkan keadaan seperti ini
“Eksekutif tidak mahu datang ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas kami. Apabila Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menjadi Speaker sebelum Langkah Sheraton, kita ada kertas pindaan Perintah Tetap.
“Sepatutnya kertas itu diteruskan Speaker Dewan Rakyat sekarang,” katanya.
Katanya lagi, Yang di-Pertuan Dewan Rakyat perlu mencontohi Dewan Negeri Selangor yang mengenakan tindakan penghinaan kepada mana-mana pihak yang gagal menghadiri prosiding jawatankuasa dewan.
“Sebagai contoh di Selangor, penghinaan berlaku jika pegawai tidak hadir ke jawatankuasa, khususnya apabila kita ada pendengaran Selcat, kita boleh buat laporan polis untuk (tindakan) penghinaan.
“Kita nak perkara sama berlaku di sini (Parlimen),” katanya lagi. – MalaysiaGazette