Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini, kembali menjadi tumpuan petugas media berikutan berlangsungnya mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada malam ini.

Beberapa pemimpin parti itu yang kelihatan adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli MKT, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Difahamkan mesyuarat telah bermula sejak petang tadi antara biro-biro terlebih dahulu.

Petugas media daripada pelbagai agensi pula dilihat mula berkumpul di lokasi ini seawal jam 8 malam.

Antara intipati perbincangan mesyuarat yang dijangka diketengahkan pada malam ini adalah kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkaitan usul pindaan Perlembagaan UMNO yang diputuskan parti itu sebelum ini.

Mei lalu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas meluluskan usul pindaan itu bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin yang mempengerusikan PAU Khas ketika itu mengumumkan usul pindaan diluluskan sebulat suara 2,586 perwakilan UMNO dari 192 bahagian di seluruh negara yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Dengan kelulusannya, MKT UMNO diberi dua pilihan di bawah Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas PRU selesai diadakan.

Pindaan itu antara lain menyaksikan peruntukan Fasal 10.16 yang sedia ada dipinda menjadi Fasal 10.16.1 iaitu pemilihan parti sekarang boleh ditangguhkan pada satu masa dalam tempoh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh sepatutnya atau sehingga enam bulan dari PRU.

Susulan pindaan kepada Fasal 10.16 itu, UMNO turut memutuskan untuk meminda Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 dalam perlembagaan partinya. – MalaysiaGazette