Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional Selangor disarankan untuk memasukkan impian bekas bekas Menteri Besar Selangor Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ke dalam manifesto pilihan raya.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan Allahyarham pernah menyimpan impian untuk memberikan saham percuma dalam syarikat Air Selangor kepada semua rumah di negeri Selangor.

Menurut Najib, impian itu dinyatakan Allahyarham ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan semasa kedua-dua mereka melakukan perbincangan mengenai penstrukturan dan pengambilan semula semua konsesi air di Selangor.

“Saya pernah berbincang beberapa kali dengan Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim berkenaan rancangan penstrukturan semula dan pengabilan semula semua konsesi air Selangor yang diswastakan masa PM4.

“Antara impian yang pernah diluahkan arwah ialah untuk memberi saham percuma dalam syarikat Air Selangor kepada semua rumah tangga yang merupakan pengguna Air Selangor setelah proses penstrukturan dan pengambilan semula selesai,” kata Najib.

Menurut Najib, proses penstrukturan dan pengabilan semula semua konsesi air Selangor berjaya diselesaikan dengan pertolongan dan sokongan Kerajaan Persekutuan yang dipimpinnya semasa menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun Abdul Khalid tidak sempat untuk merealisasikan impian beliau kerana terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

“Dengan pertolongan dan sokongan Kerajaan Pusat masa saya PM, proses penstrukturan tersebut berjaya diselesaikan tetapi arwah tak sempat merealisasikan impian seterusnya akibat dikhianat dan dipecat oleh parti dia.

“Jadi, saya cadang BN Selangor pertimbang untuk meletakkan pemberian saham Air Selangor sebagai salah satu janji dalam manifesto bagi PRU15 agar hasrat dan impian Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dapat disempurnakan.

“Saya juga tiada bantahan sekiranya kerajaan PH Selangor berbuat demikian sekarang juga sebagai penghormatan kepada arwah memandangkan mereka sedang menguasai Air Selangor ketika ini,” kata Najib.

Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia pada jam 11.08 malam pada 31 Julai lalu di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Belia meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada 26 Ogos 2014 selepas kalah pemilihan PKR pada tahun tersebut.

Kepimpinan dalam Pakatan Rakyat mengesa beliau untuk berundur dengan pelbagai alasan termasuk isu air di negeri itu.- MalaysiaGazette