Dr. Mahathir mengumumkan gabungan parti politik dan NGO yang dinamakan Gerakan Tanah Air (GTA)

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan penubuhan sebuah gerakan Melayu yang dipanggil Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menentang UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas perdana menteri itu berkata, ia merupakan sebuah gerakan yang menggabungkan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan profesional.

Katanya, GTA mengalu-mengalukan penyertaan daripada orang Melayu yang merupakan kaum terbesar di negara ini.

“Ramai orang Melayu percaya mereka memerlukan satu pilihan politik yang lebih baik untuk menguruskan pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat hari ini.

“Atas dasar itu pada hari ini kita telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah gabungan politik orang-orang Melayu yang kami namakan Gerakan Tanah Air,” katanya pada sidang media khas di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, gerakan tersebut dipengerusikan oleh beliau sendiri manakala, timbalan-timbalannya terdiri daripada Presiden empat parti gabungan yang menyertai gerakan itu.

Antara timbalan itu ialah Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrtahim Ali; Prersden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Presiden Parti Iman, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Katanya, jawatan bagi Ketua Setiausaha pula dipegang oleh Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya manakala bagi jawatan naib-naib presiden dan bendahari belum ditentukan kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin NGO lain yang bakal menyertai gerakan itu.

Menurut Dr Mahathir, GTA akan turun bertemu masyarakat untuk menyampaikan pesanan tentang nasib bangsa Melayu yang hanya ditentukan oleh mereka sendiri.

Katanya, orang Melayu boleh memilih sama ada mereka mahu kekal terpinggir dengan dipimpin oleh orang Melayu yang terlibat dengan rasuah.

Ditanya sama ada GTA akan menerima parti-parti lain selain parti Melayu untuk menguatkan gabungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi menegaskan, gerakan itu hanya akan memberi ruang kepada orang Melayu sahaja.

Dalam pada itu Dr Mahathir memaklumkan, gerakan itu nanti berhasrat untuk bertanding di 120 daripada 222 kerusi parlimen pada PRU15.

Tambahnya, gerakan itu akan bertanding di kerusi majoriti Melayu khususnya kawasan tradisi UMNO.

“Kita jemput orang Melayu saja bukan kerana kita perkauman, (tetapi) kerana usaha kita untuk lawan parti Melayu yang telah menyeleweng iaitu UMNO.

“Sebab itu kita buat parti Melayu untuk menentang parti Melayu,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai bakal calon yang akan diangkat sebagai perdana menteri sekiranya gerakan itu menang pada PRU15, Dr Mahatir memberitahu ia belum dibincangkan dan perlu fokus mencapai kemenangan pada pilihan raya tersebut terlebih dahulu. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.