Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A'zlan Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu iri hati dengan Barisan Nasional (BN) yang kini mendapat kepercayaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk meneruskan perjuangannya membela rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A’zlan Abu Bakar berkata, serangan itu hanya menyerlahkan kekecewaan Bersatu yang gagal memujuk Tengku Zafrul untuk mengkhianati UMNO selepas diberi tempat dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Inilah citra Bersatu yang membuktikan mereka tiada sifat terbuka malah lebih iri hati dan dengki melihat mana-mana pihak memilih untuk bersama BN, lebih-lebih lagi dalam kalangan cendiakawan dan profesional.

“Tengku Zafrul tidak sesekali mengkhianati prinsip sebagai ahli UMNO untuk melompat ke parti lain, seperti mana ramai pemimpin Bersatu hari ini.

“Mungkin pujukan dan tawaran Bersatu kepada Tengku Zafrul selama ini tidak menggugat kesetiaan beliau untuk kekal bersama UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan pada Khamis yang melahirkan rasa kecewa dengan Tengku Zafrul kerana memilih berpihak dengan BN selepas Bersatu membawa beliau masuk ke dunia politik.

Dakwa Wan Saiful, Tengku Zafrul kini telah berubah daripada seorang yang berwibawa kepada sanggup bersengkongkol dengan kleptokrat dalam UMNO BN hanya kerana kuasa dan jawatan.

Menurut A’zlan, Wan Saiful perlu berhenti bercakap soal perjuangan kerana beliau sendiri yang mencipta janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14 lalu sehingga ramai pengundi tertipu.

“Saya nasihatkan Wan Saiful, jadilah ketua penerangan kelas tinggi, tak banyak sikit pun tak mengapa. Bercakaplah untuk membangunkan masa hadapan.

“Tengku Zafrul merupakan ikon yang diperlukan rakyat sebagai pemimpin yang boleh diharapkan. Sudah pasti lebih ramai imej baharu akan ditampilkan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Tidak perlulah parti lawan berasa takut dengan pembaharuan dan penyegaran yang telah dilakukan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor lagi.

“Ini kerana keutamaan kita adalah kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia untuk hari ini dan masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette