Datuk M. Nasir kini menyertai organisasi e-sukan, RSG MY.

KUALA LUMPUR – Liga Profesional Mobile Legends (MPL) musim ke-10 semakin meriah dengan kehadiran lagenda dan veteran dalam industri seni muzik tanah air, Datuk M. Nasir yang menyertai organisasi e-sukan, RSG MY.

Pengumuman itu dibuat melalui sebuah hantaran di akaun Instagram rasmi MPL.

Sementara itu, RSG turut mengesahkan M. Nasir akan bermain di posisi Flex dan menggunakan nama In Game Name atau IGN Sifu! di dalam permainan tersebut.

RSG pernah muncul juara pada kejohanan itu pada musim ketujuh.

M. Nasir memulakan kerjaya bersama kumpulan Kembara sebagai vokalis dan gitaris untuk tempoh singkat sebelum memulakan kerjaya muzik secara solo.

Antara lagu-lagu terkenal beliau ialah Mustika, Apokalips, Mentera Semerah Padi, Raikan Cinta dan Phoenix Bangkit Dari Abu.

Filem yang pernah dilakonkan oleh beliau antaranya adalah Kembara Seniman Jalanan (1986), Fenomena (1990), Selubung (1992), Merah (1997), Puteri Gunung Ledang (2004) dan Tombiruo: Penunggu Rimba (2017).

Dalam pada itu, satu kejutan besar M. Nasir atau nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed yang dilahirkan pada 1957 yang kini berusia 65 tahun apabila menceburi bidang baharu yang janggal dengan seorang berstatus warga emas.

Beliau kini menjadi gamer profesional selepas terkenal sebagai seorang penyanyi, penggubah lagu, pelakon, penerbit album, pengarah dan pelukis serta sinonim dengan gelaran Sifu.

Dalam pada itu, MPL musim ke-10 telah bermula semalam.

Semua pasukan bakal bertarung untuk bagi mendapatkan slot ke Kejohanan Dunia M4 yang akan diadakan pada Januari 2023. – MalaysiaGazette