Foto AFFAN FAUZI, 04 OGOS 2022.

PETALING JAYA – Dengan semakin banyak pihak dan media yang mengaitkan tarikh pembubaran Parlimen dengan tarikh pembentangan Bajet 2023, tarikh Bajet seakan-akan menjadi pembayang utama tarikh pilihan raya umum.

Selain itu, dengan laporan mengenai perbezaan pendapat dalam UMNO mengenai pilihan raya sebelum atau selepas Bajet, ura-ura mengenai pembentangan Bajet 2023 diawalkan juga semakin rancak dibincangkan.

Sinchew Daily melaporkan, berbanding tarikh asal iaitu 28 Oktober, kini terdapat tiga pilihan untuk membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, iaitu minggu pertama Oktober, minggu ketiga Oktober, atau diawalkan lagi ke September.

Menurut akhbar itu, tidak kira apa pilihannya, pembubaran Parlimen akan diumumkan secara “serta-merta” selepas pembentangan Bajet 2023.

Sumber memberitahu, pembubaran Parlimen malahan boleh berlaku pada keesokan hari selepas pembentangan Bajet 2023.

Sementara itu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris The Star melaporkan, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah menimbulkan ura-ura bahawa Perikatan Nasional (PN) akan menarik balik sokongannya terhadap kerajaan semasa.

Tindakan itu dilaporkan sebagai bantahan ke atas kegagalan untuk melantik seorang wakil Bersatu sebagai Timbalan Perdana Menteri seperti yang dipersetujui.

Walau bagaimanapun, sumber dari Bersatu memberitahu Sinchew Daily, “penarikan balik sokongan” belum diputuskan dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berada  di London.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika dihubungi pula berkata, partinya akan membincangkan secara mendalam berkenaan pembatalan perjumpaan antara Ismail Sabri dan Hamzah.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pembatalan perjumpaan itu tidak bermaksud hubungan antara PN dan UMNO telah pecah.

“Tidak (pecah), pada masa ini hanya pembatalan perjumpaan dan kami akan membawa perkara ini untuk dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi,” katanya.

Jelasnya, perkara itu akan dibincangkan dalam peringkat parti komponen terlebih dahulu sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi PN.

Sebelum ini, Wan Saiful pernah menjelaskan bahawa pertemuan antara Perdana Menteri dengan Hamzah adalah untuk membincangkan persetujuan yang dicapai antara Ismail Sabri dengan PN. – MalaysiaGazette