KUCHING – Sarawak berharap sebarang perbezaan pendapat antara negeri itu dengan kerajaan Persekutuan dapat diselesaikan secara muhibbah dalam semangat kekeluargaan.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sama seperti sebuah keluarga yang besar, semestinya akan berlaku perbezaan pendapat serta cara berlainan untuk melaksanakan sesuatu antara Semenanjung dan Sarawak.
Jelasnya, keadaan seperti itu tidak menjadi masalah besar, sekiranya pandangan dan kaedah yang berlainan ini diselesaikan secara baik.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya melalui kebebasan itu beliau berharap agar suatu hari nanti mampu setanding dengan kawasan-kasawan lain, yang sudah maju di negara ini.
“Sebagai sebahagian daripada Keluarga Malaysia besar, saya pasti Perdana Menteri dan barisan para pemimpin di peringkat keluarga besar, ingin melihat keluarga kecil Sarawak juga berjaya dalam apa jua program pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.
Jelajah AKM ini berkonsepkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dengan menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga, selain frasa Keluarga Malaysia itu disifatkan lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama dan bangsa.
Sepanjang tiga hari jelajah AKM Sarawak yang bermula Jumaat lalu (5 Ogos), pelbagai acara dan aktiviti disediakan dengan penglibatan 28 agensi perkhidmatan awam yang menyediakan pelbagai bantuan dan perkhidmatan. – BERNAMA